"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pensyarah tembak lutut penuntut

Agensi

DR RAIHAN. FOTO Agensi
Dhaka: Seorang pensyarah di Bangladesh digantung tugas pada Rabu selepas didakwa menembak penuntutnya semasa menjalani satu ujian lisan di dalam kelas, baru-baru ini.

BBC News melaporkan, Dr Raihan Sharif ditahan sebelum digantung tugas berikutan bantahan penuntut kolej perubatan tempat kejadian itu berlaku.

Penuntut yang cedera menjalani pembedahan dan masih menjalani rawatan di hospital.

Media tempatan melaporkan, Arafat Amin Tomal, penuntut berusia 23 tahun di sebuah kolej perubatan di Sirajganj, barat laut Bangladesh, bertengkar dengan Dr Raihan semasa ujian lisan pada Isnin.

Semasa peperiksaan, Dr Raihan didakwa mengeluarkan pistol dan mengacukannya ke arah penuntut itu sebelum menembaknya di lutut kanan mangsa.

Peluru itu dilaporkan mengenai telefon bimbit Arafat yang berada di dalam poket seluarnya sekali gus menyelamatkannya daripada kecederaan serius yang mengancam nyawa, menurut akhbar Bangladesh, Daily Star.

Dalam pada itu, Dhaka Tribune melaporkan, seramai 45 penuntut berada di dalam kelas berkenaan ketika kejadian.

Mereka bergegas membantu dan mengawal keadaan dengan mengunci pensyarah terbabit di dalam sebuah bilik sebelum menghubungi polis.

Dalam satu kenyataan, polis mengesahkan, suspek menembak penuntut itu dengan pistol tidak berlesen.

Kata polis, mereka merampas pistol itu bersama-sama pistol kedua, 81 peluru, empat kelopak peluru, dua pisau dan 10 pisau belati yang ditemukan di dalam begnya.

"Dr Raihan didakwa terkenal kerana membawa senjata ke kolej itu yang akan dipamerkannya semasa kuliah," kata polis.

Polis berkata, satu jawatankuasa khas dibentuk untuk menyiasat kejadian itu.

Insiden itu mengejutkan Bangladesh dan mencetuskan kecaman meluas apabila lelaki itu hanya digantung daripada jawatannya dua hari selepas kejadian, walaupun ditahan polis.

Penggantungan tugasnya dibuat selepas bantahan penuntut sekolah perubatan itu, yang menuntutnya dipecat serta-merta dan dihukum berat.

Kejadian seperti itu jarang berlaku di Bangladesh kerana pemilikan dan penggunaan senjata api dikawal ketat kerajaan.

Tiada ulasan: