"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuntutan RM70 bilion ‘penjaga sah wilayah Sulu’, Malaysia tak akan layan

Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak melayan sebarang bentuk tuntutan remeh oleh kumpulan digelar sebagai United Tausug Citizens (UTC) yang mendakwa sebagai “penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu” ke atas Sabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Beliau berkata, UTC meminta kerajaan Malaysia untuk membuat pembayaran segera sebanyak USD15 bilion (RM70 bilion) yang didakwa mereka sebagai “cession money” (wang penyerahan wilayah) dan mengiktiraf UTC sebagai “kerajaan yang berdaulat dan merdeka”, selain mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Amerika Syarikat.

“Ini merupakan percubaan terkini yang remeh dan tidak berasas oleh satu kumpulan untuk menuntut kedaulatan ke atas wilayah Malaysia dan untuk memeras wang secara tidak berasas daripada Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Azalina turut menekankan Malaysia berjaya mengetepikan cubaan serupa di seluruh Eropah oleh pewaris yang mendakwa sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II berdasarkan tuntutan palsu yang dikeluarkan oleh penimbang tara Dr Gonzalo Stampa.

“Kesultanan Sulu sudah tidak wujud selama beberapa dekad dan tidak diiktiraf oleh mana-mana negara berdaulat atau organisasi antarabangsa,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan penjara enam tahun terhadap Stampa oleh Mahkamah Jenayah Madrid baru-baru ini, serta larangan daripada menjalankan tugasnya sebagai penimbang tara selama setahun, adalah bukti penyalahgunaan jenayah terhadap proses timbang tara dan ketidakadilan dialami oleh Malaysia, hasil daripada kes tuntutan Sulu.

Beliau mengulangi kedudukan kukuh Sabah dalam Malaysia, selain menegaskan kerajaan menekankan bahawa penyertaan Sabah untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia adalah fakta undang-undang yang sudah ditetapkan sejak penyahjajahan pada 1963.

Sejak itu, Sabah menjadi sebahagian penting daripada Malaysia.

Susulan perkembangan ini, Azalina menekankan sistem timbang tara perdagangan antarabangsa adalah mekanisme penting dalam penyelesaian pertikaian global dan ia harus dilindungi daripada percubaan tidak sah untuk menuntut negara berdaulat bawah tuntutan timbang tara.

“Kerajaan Malaysia sedang aktif mencari semua penyelesaian undang-undang terhadap sebarang tuntutan remeh dan tidak berasas untuk mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara sepanjang masa,” katanya.

Tiada ulasan: