"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saman bekas guru: "Dia ancam mahu bunuh kami berdua"- Saksi

Ersie Anjumin
am@hmetro.com.my
Nurhaizah Ejab (kiri) bersama peguamnya, Shireen Sikayun. FOTO Ersie Anjumin
Nurhaizah Ejab (kiri) bersama peguamnya, Shireen Sikayun. FOTO Ersie Anjumin
Kota Kinabalu: Tindakan seorang guru membangkitkan isu berhubung ketidakhadiran guru di SMK Taun Gusi, Kota Belud menyebabkan dia menerima ugutan bunuh daripada lelaki itu.

Perkara itu diberitahu oleh Nurhaizah Ejab, 39, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Menurutnya, lelaki itu yang juga guru bahasa Inggeris sekolah itu, Mohd Jainal Jamran mengancamnya secara lisan dalam bahasa Bajau dengan berkata: "Jogo kam pepataiku kam duang ngan".

"Dia (Jainal) bercakap dalam bahasa Bajau yang bermaksud "Berhati-hati, saya akan bunuh kamu berdua".

"Kedua-dua perkataan itu merujuk kepada saya dan Ibrahim Jadoon (pembantu pengajar bahasa Inggeris sekolah itu)," katanya.

Nurhaizah berkata, insiden itu berlaku ketika mesyuarat di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Belud pada 24 Ogos 2015.

"Saya percaya ugutan itu turut didengari oleh guru lain yang hadir ketika mesyuarat itu termasuk Ketua Jabatan Bahasa, Cikgu Norhana Idek.

"Pada malam itu, saya menerima panggilan daripada Norhana yang memaklumkan bahawa beliau mendapat maklumat daripada kerani sekolah yang meminta kami berdua (Nurhaizah dan Ibrahim) supaya tidak hadir ke sekolah kerana bimbang Jainal akan melakukan sesuatu yang buruk terhadap kami.

"Saya terima nasihat dan amaran itu kerana takut serta bimbang keselamatan diri kami berdua," katanya ketika menjawab soalan peguam Shireen Sikayun.

Nurhaizah ditanya berhubung tindakannya menasihati Ibrahim untuk tidak hadir ke sekolah keesokan hari selepas mesyuarat di PPD itu.

Beliau memberi keterangan dihadapan Hakim Datuk Ismail Brahim dalam perbicaraan kes saman bekas pelajar sekolah, Siti Nafirah Siman terhadap Jainal yang didakwa tidak hadir ke kelas untuk mengajar subjek bahasa Inggeris itu selama tujuh bulan pada 2015.

Dalam saman yang difailkan pada 30 Oktober 2018, Siti Nafirah menamakan Jainal sebagai defendan pertama manakala Suid Hanapi (sebagai pengetua SMK Taun Gusi ketika itu), pegawai pendidikan daerah Kota Belud, pengarah pendidikan Sabah, pengarah pendidikan, menteri pelajaran dan kerajaan masing-masing sebagai defendan kedua hingga ketujuh.

Tiada ulasan: