"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Chegubard nafi hina Agong dalam video tular

Faisal Asyraf

KUALA LUMPUR: Ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin menafikan beliau dan seorang ahli parti itu Muhammad Zahid Md Arip menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dalam satu rakaman video yang tular.

Badrul, yang juga dikenali sebagai Chegubard, berkata tiada mana-mana bahagian dalam rakaman video selama lima minit itu beliau dan Zahid menghina Yang di-Pertuan Agong, berkait dakwaan dibuatnya mengenai Sultan Ibrahim memberi Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebuah kereta.

“Malah, dalam rakaman itu kami membela Yang di-Pertuan Agong dengan menjelaskan kepada orang ramai bahawa baginda adalah harapan rakyat untuk menyelamatkan negara ini,” katanya dalam sidang media di luar Bukit Aman sebelum memberi keterangan kepada polis.

Badrul juga mendakwa siasatan polis terhadap dirinya dan Zahid adalah satu bentuk intimidasi dan bertentangan dengan perlembagaan yang menjamin hak kebebasan bersuara.

Pada Isnin lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan polis menyiasat Badrul dan Zahid yang juga bekas setiausaha politik Mahathir Mohamad.

Razarudin berkata mereka disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Badrul juga mendakwa dia turut disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Katanya, dia tidak sepatutnya disiasat mengikut akta itu kerana bukan dia atau Zahid yang merakamkan atau menyebarkan rakaman video itu di media sosial.

“Walaupun saya ditangkap, saya tidak akan menyerahkan gajet saya kepada polis kerana saya tidak sepatutnya disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Tiada ulasan: