"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Agong kurnia Proton X90 kepada Ketua Polis Negara, pegawai kanan istana

SITI NUR ZAWANI
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan Proton X90 kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan beberapa pegawai kanan Istana Negara.

Seri Paduka Baginda sejak dahulu lagi mengurniakan kereta kepada pegawai-pegawai yang berjasa serta dedikasi dalam menjalankan tugas sebagai mengiktiraf sumbangan serta khidmat cemerlang.

Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, baginda berkenan mengurniakan kenderaan tersebut kepada Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini; dan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.

Turut menerima kurniaan kereta daripada baginda ialah mantan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin, dan Datuk Nazim Mohd Alim.

Kurniaan baginda disampaikan oleh Datuk Zailani Hashim, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.

Untuk rekod, baginda Sultan Ibrahim dan Keluarga Diraja Johor menerusi Yayasan-Yayasan Diraja Johor telah banyak mengurniakan pelbagai sumbangan dalam membantu rakyat yang memerlukan.

Malah, baginda turut mengurniakan 10,000 paket beras percuma seberat 10 kilogram di Johor tahun lalu dalam membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Selain daripada kurniaan dan sumbangan menerusi Yayasan Keluarga Diraja Johor kepada rakyat jelata, baginda juga memberi kurniaan kereta kepada pegawai-pegawai kerajaan Negeri Johor, pegawai daerah, doktor perubatan serta jururawat.

Contohnya, pada tahun 2010 Tuanku Agong berkenan mengurniakan 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa besar kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada 2018, baginda mengurniakan Proton Suprima kepada semua Pegawai Daerah di Johor.

Dalam menzahirkan penghargaan kepada pasukan perubatan, Sultan Ibrahim turut pernah mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, pada September 2020.

Baginda juga pernah mengurniakan Proton X70 kepada tiga doktor sebagai penghargaan di atas khidmat mereka dalam pasukan perubatan Istana Johor pada 2021.

Tiada ulasan: