"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tektik mahu untung sendiri: Buka kedai runcit, bekal barang subsidi ke restoran sendiri tumpas

Bernama

MELAKA: Kelicikan seorang pengusaha restoran mamak dengan membuka kedai runcit haram bersebelahan premis makanannya untuk mengaburkan aktiviti membekalkan barangan bersubsidi kepada restoran tersebut, terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata kegiatan dua premis tersebut di Melaka Raya, Banda Hilir yang dimiliki dan dikendalikan oleh warga asing itu, terbongkar menerusi maklumat orang awam serta siasatan dan operasi dilakukan penguat kuasa KPDN Melaka.

“Ini modus operandi terbaharu yang dikesan dan kita percaya ia dilakukan kerana kedai makan tidak dibenarkan menggunakan minyak masak paket bersubsidi yang dikhaskan untuk isi rumah, serta serbuan-serbuan yang kerap dilakukan oleh penguat kuasa.

“Jadi, mereka buka kedai runcit bersebelahan dengan kedai makan dengan beranggapan kedai runcit tersebut akan membekalkan barangan kawalan seperti gula, tepung, dan minyak masak kepada kedai makan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas serbuan.

Dalam serbuan tersebut 493kg minyak masak paket, 50 paket tepung gandum, dan 276 paket gula bersubsidi serta dua tong gas petroleum cecair (LPG) dirampas, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan hampir 845kg bernilai RM2,000.

Norena berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu akan memberi kesan kepada lebih 200 isi rumah yang sepatutnya mendapat barangan bersubsidi, terutamanya minyak masak paket 1kg.

Hasil siasatan juga mendapati kedai runcit tersebut yang baru dibuka 10 hari lalu, bukan sahaja tidak berdaftar dengan pihak majlis berkuasa tempatan, malah tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit kebenaran menyimpan barangan kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan.

“Mereka ini sangat berani melanggar peraturan dan langkah seterusnya ialah kita akan pergi kepada pemborong yang jual barangan kawalan ini kepada mereka (pemilik kedai runcit).

“Sekiranya ada kesalahan berlaku tindakan keras akan diambil, sebab kita sudah memberi amaran kepada pemborong, agar tidak menjual kepada mana-mana organisasi atau individu yang tidak mempunyai lesen bagi barangan kawalan. Malah kita juga akan terus melakukan pemantauan dan serbuan agar perkara ini tidak lagi berlaku di Melaka,” katanya.

Tiada ulasan: