"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pencalonan Isa: Malaysia terus merudum dalam persepsi rasuah / UBN Najib Altantuya

Abdul Aziz Mustafa
TELOK KEMANG, 4 Okt: PAS bimbang kedudukan Malaysia akan terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berikutan pemilihan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

"Kedudukan Malaysia dalam indeks itu terus merudum. Sebelum ini berada pada kedudukan ke 43. Sekarang ke 47.

"Sepatutnya kerajaan BN bertindak segera untuk memperbaiki kedudukan yang semakin merudum itu.

"Tetapi, apabila BN memilih Isa sebagai calon mereka di sini, nampaknya parti itu seperti merestui rasuah," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam ceramah pilihan raya tersebut.

BN, katanya, membuktikan keengganannya untuk memerangi rasuah.

"Umno kononnya hendak mengadakan perhimpunan khas untuk mengatasi politik wang.

"Tetapi sekarang nampak benar parti itu bersifat hipokrit apabila mendakwa mahu membasmi politik wang," kata Ahli Parlimen Pokok Senan itu dalam ceramahnya di Kampung Bagan Pinang.

ImageKampung Bagan Pinang ialah kampung Isa di mana beliau pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bagan Pinang.

2005 lalu, keahlian bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dalam Umno digantung selama tiga tahun berikutan politik wang.

Ketika ditemui selepas ceramahnya, Mahfuz juga bimbang Malaysia akan dipandang semakin buruk oleh badan-badan integritu dunia jika Isa dipilih oleh rakyat Bagan Pinang dalam pilihan raya kecil itu.

Menurut laporan terbaru Transparency International (TI), kedudukan Malaysia dalam CPI lebih buruk dari Israel.

Entiti yang dilabelkan sebagai entiti haram pengganas itu berada pada kedudukan ke 33, 14 tangga mengatasi Malaysia di dalam indeks persepsi rasuah itu.

Kejatuhan kedudukan Malaysia dalam CPI itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kerana sejak Malaysia terlibat dengan kajian TI itu, kedudukannya terus merudum.

Kali pertama Malaysia disenaraikan pada tahun 1995, ia berada pada kedudukan ke 23.

Rakyat negara ini menanggung kerugian RM10 billion setahun akibat rasuah. Kos yang sama boleh digunakan untuk membina sebuah universiti bagi memantapkan daya saing rakyat negara ini.

Wang sebanyak RM10 bilion juga boleh digunakan untuk membina lebih 150,000 rumah kos rendah, jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin menyifatkan kedudukan Malaysia yang semakin merudum dalam CPI itu "bukan berita baru".

"Itu bukan berita. Macam cerita orang digigit anjing, itu bukan berita. Kalau orang yang menggigit anjing, itu baru berita," katanya.

Beliau menyifatkan kayu ukur yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam gembar-gembur mengenai Indeks Prestasi Utama (KPI) hakikatnya adalah "hampas" jika diambilkira kayu ukur yang digunakan di peringkat global.

"Tetapi itulah kelebihan Najib - syok sendiri," katanya.

Di bawah pemerintahan BN, katanya lagi, rakyat Malaysia terpaksa menerima hakikat bahawa negara kita dipandang seperti "pariah" oleh badan-badan integriti dunia.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar pula menyifatkan kemerosotan Malaysia dalam indeks persepsi rasuah itu berpunca dari salah tumpuan kerajaan Najib.

"Najib sepatutnya memberikan tumpuan kepada kedudukan Malaysia yang semakin merudum dalam CPI bukannya membuat bising tentang KPI untuk mengaburi mata rakyat.

"KPI yang ada pada hari ini hanyalah 'end result' kepada rasuah," katanya.

Tiada ulasan: