"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menanti gelombang kedua kontroversi Selcat

G. MANIMARAN

HASIL mesyuarat khas tiga penjuru yang membincangkan isu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) Isnin lalu memutuskan badan yang berusia kira-kira setahun itu tidak akan dibubarkan sama sekali. Selcat yang dibentuk oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk menyiasat pengurusan peruntukan oleh kerajaan negeri sebelum ini – yang didakwa telah dihabiskan dalam jumlah yang banyak dalam tempoh singkat - akan kekal dengan status dan tatacaranya.

Nampaknya, walaupun sudah hampir seminggu keputusan mengekalkan status-quo dicapai, isu ini tidak terkubur begitu sahaja.

Sehari selepas mesyuarat khas itu, PAS yang mengadakan mesyuarat Dewan Hariannya di Seremban juga memutuskan untuk meminta parti-parti komponen Pakatan Rakyat terutamanya DAP agar tidak membangkitkan isu ini lagi, lebih-lebih lagi ketika berlangsungnya pilihan raya kecil kerusi DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Mesyuarat Dewan Harian PAS itu membincangkan soal pemilihan calonnya untuk bertanding kerusi Bagan Pinang. Isu Selcat yang berkait rapat dengan pendirian Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali, yang turut mempertikaikan tatacara Selcat telah dijangkakan akan turut dibangkitkan dalam mesyuarat Dewan Harian itu. Tetapi ia tidak menjadi agenda utama perbincangan.

Hasan yang ditemui mStar Online selepas mesyuarat itu juga enggan mengulas isu berkenaan.

"Jentera pilihan raya Bagan Pinang telah mengesyorkan kepada pucuk kepimpinan (DAP) agar meminta kerjasama parti-parti komponen Pakatan supaya tidak membangkitkan isu ini lagi, terutama sepanjang pilihan raya kecil Bagan Pinang,” kata Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar kepada mStar Online.

Pilihan raya kecil ini akan berakhir 11 Oktober ini.

Kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang bermula semalam, enam hari selepas mesyuarat khas memutuskan tentang nasib Selcat.

Di sebalik perjalanan pilihan raya kecil ini, PAS dan DAP Selangor merancang untuk mengadakan perbincangan meja bulat pada 7 Oktober ini bagi menjernihkan hubungan kedua-dua rakan Pakatan Rakyat itu. Kedua-dua parti ini mahu mencari formula memperkukuhkan kerjasama selepas berhadapan dengan siri konflik sepanjang 18 bulan yang lalu.

Dialog meja bulat yang bakal dihadiri oleh 10 pemimpin daripada parti diadakan secara kebetulan ketika isu Selcat muncul. Sebenarnya isu Selcat sudah bertunas pada suku kedua tahun ini.

Antaranya bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo mempertikaikan perjalanan Selcat. Dr. Khir yang berpendirian bahawa beliau digantung daripada menghadiri sidang DUN selama setahun kerana mengkritik pada 15 Julai lalu semalam mendakwa bahawa "DAP cukup bijak memanipulasi isu politik untuk kepentingan mereka."

Dr. Khir terus mendesak supaya Selcat dibubarkan kerana menganggap jawatankuasa itu bertindak tidak adil dan berat sebelah.

DAP Selangor dan Parti Keadilan Rakyat terus mempertahankan kewujudan Selcat.Sebagaimana telah dijangkakan kerajaan negeri kekal dengan pendiriannya mahu meneruskan pembentukan Selcat. Salah satu ciri utama Selcat ialah mengadakan sesi soal siasat secara terbuka. Malah sesi itu juga boleh diikuti menerusi internet.

mStar Online difahamkan Selcat hanya akan berperanan sebagai sebuah badan sementara untuk meneliti pengurusan penggunaan peruntukan oleh kerajaan negeri sebelum khususnya beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Difahamkan agensi-agensi seumpama Selcat akan diwujudkan di peringkat lain selepas ini. Antaranya pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi awam negeri yang lain.

Melihat pada perkembangan sejak Mac 2008, isu yang berkisar Selcat tidak berakhir sebaik keputusan mesyuarat tiga penjuru pada 28 September lalu yang dipengerusikan oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim dicapai.

Sama ada pucuk kepimpinan PAS akan membincangkannya lagi pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja akan datang, yang dijangka dalam tempoh dua minggu lagi, masih menjadi tanda tanya. Memandangkan Dewan Harian tempoh hari tidak menyentuh isu itu, ia kemungkinan besar tidak akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Kerja.

Melainkan ia dibangkitkan oleh mana-mana pihak.

Apa pun berdasarkan perkembangan mutakhir di Selangor, isu Selcat belum berakhir nyawanya. Pertikaian tentang tatacara dan rasional Selcat akan terus timbul.

Bahkan ia akan menjadi bahan kempen pilihan raya umum akan datang. Sudah tentu dalam mana-mana pilihan raya kecil termasuk yang sekarang di Bagan Pinang.

-mstar.com-

Tiada ulasan: