"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pertikaian Selcat alih tumpuan isu sebenar / UBN Najib Altantuya

Haris Zalkapli
ANALISIS

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008, PAS diuji dengan perbezaan ide berhubung usaha menubuhkan kerajaan pusat yang diperlihatkan melalui pergeseran melibatkan kumpulan diketuai "golongan profesional" dalam PAS dengan "ulama" parti.

Kali ini, di negeri Selangor, salah sebuah negeri yang ditawan dalam pilihan raya umum 2008, PAS sekali lagi berdepan cabaran akibat perbezaan pendapat.

PAS negeri Selangor menjadi tumpuan ekoran pergeseran dalaman berhubung jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban, dan ketelusan (Selcat) yang dikritik Datuk Dr Hassan Ali, exco kerajaan negeri yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor.

Kritikan Hassan mengundang kecaman keras beberapa pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat lain, sehingga kedudukan Hassan sebagai exco negeri Selangor dan ahli Pakatan Rakyat juga dipersoalkan oleh beberapa wakil DAP.

Perbezaan pandangan ini walau bagaimanapun telah cuba diselesaikan melalui enam ketetapan yang dikeluarkan PAS Selangor, menegaskan sokongan kepada Hassan sebagai pesuruhjaya negeri dan ahli exco dan memperakukan cadangannya supaya penambahbaikan Selcat dilaksanakan.

Pendirian rasmi PAS Selangor ini merupakan langkah untuk memulihkan ketegangan akibat daripada respons kepada kenyataan Hassan mengkritik Selcat seperti yang dilaporkan media.

Ketetapan itu menegaskan sekali lagi keperluan menambahbaik Selcat dan menegaskan PAS kekal dalam Pakatan, isu yang telah menjadi semakin kompleks akibat kenyataan-kenyataan kecaman terhadap Hassan dan PAS Selangor sehingga menenggelamkan isu sebenar yang ditimbulkan Hassan - penambahbaikan Selcat.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali pula menggesa semua pihak dalam Pakatan Rakyat tidak membuat kenyataan terhadap satu sama lain secara terbuka dan menyelesaikan pertikaian di peringkat dalaman.

"Saya minta semua pihak sama ada PAS atau sesiapa sahaja, kita ada mekanisme untuk selesaikan masalah. Jangan buat kenyataan terbuka tentang satu sama lain. Apa pun boleh dibincangkan secara dalaman," kata Mustafa.

Kenyataan-kenyataan terbukalah yang mengeruhkan lagi keadaan dan merumitkan keadaan, seperti kenyataan wakil-wakil DAP dan kenyataan meminta Hassan meletak jawatan exco dan keluar daripada Pakatan.

Hassan dikecam pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang melihat kritikan itu sebagai kritikan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor, yang Hassan menganggotainya sebagai ahli exco.

Hassan dalam kenyataannya memberikan cadangan "agar segera diadakan petemuan antara menteri besar dan ahli-ahli exco dengan Selcat bagi membincangkan segala pandangan, hujah dan dakwaan terhadap para pegawai kanan kerajaan negeri yang telah dipanggil Selcat."

"Selepas itu perlu disusuli dengan rundingan tiga penjuru antara menteri besar dan ahli-ahli exco serta Selcat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terbabit demi menjernihkan suasana," jelasnya.

Kecaman terhadap Hassan itu berlarutan dan memberi fokus kepada kedudukan beliau dan PAS dalam kerajaan Pakatan Selangor, walaupun isu utamanya ialah tindakan-tindakan Selcat yang didakwa memalukan beberapa orang penjawat awam.

Dalam PAS sendiri, perbezaan pendapat ini dapat dilihat melalui kenyataan-kenyataan beberapa tokoh utama Selangor, Khalid Samad, ketua penerangan Roslan Shahir Mohd Shahir dan Dr Dzulkifly Ahmad.

Roslan dalam blognya di n32.blogspot.com menerangkan pendirian pesuruh jaya negeri Selangor itu, yang ditegaskan bukan bertujuan menentang kerajaan negeri Selangor.

"Membuat teguran terhadap Selcat bukan bermakna menentang kerajaan. Isu ini bukan perkara baru malah pernah dibincangkan diperingkat Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor, dan saya berani menyatakan yang Dr Hasan serta PAS Selangor bukan keseorangan dalam hal ini," tulis Roslan dalam blognya.

Dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, Roslan berkata dasar PAS Selangor ialah menyokong penubuhan Selcat, tetapi mahukan penambahbaikan supaya jawatankuasa itu lebih berwibawa.

"Dr Hassan Ali menyokong penubuhan Selcat di dalam dewan. Kenyataan-kenyataan beliau hanya teguran untuk menambahbaik jawatankuasa itu," katanya.

Khalid, ahli Parlimen Shah Alam pula mengaitkan kritikan Hassan sebagai memperlihatkan imej buruk PAS sebagai ahli Pakatan dan imej lemah Pakatan Rakyat yang didakwa membantu Barisan Nasional.

"PR kelihatan sebagai sebuah kerjasama dan gabungan yang rapuh, lemah dan tidak kukuh. Ia dilihat sentiasa bertelagah satu sama lain walaupun telah bersama selama lebih dari setahun. Imej lemah sebegini memang diusahakan oleh BN dan dengan tindakannya itu, beliau telah pun secara tidak langsung membantu BN dalam usaha mereka untuk memperlekehkan PR," tulis Khalid dalam blognya,khalidsamad.com.

"PAS pula dilihat sebagai parti yang bersifat �talam dua muka� atau �gunting dalam lipatan.� Duduk bersama Exco membincang segala pendekatan tetapi menempelak kerajaan PR pada setiap peluang yang diperolehinya," jelasnya.

Kritikan Khalid ini juga mengaitkan isu kedudukan PAS dalam Pakatan dan tidak menyentuh isu berhubung penambahbaikan Selcat yang disebut Hassan dan menjadi ketetapan PAS Selangor.

Khalid pula dikritik dalam PAS Selangor kerana tidak bersuara ketika Azmin Ali mengkritik kerajaan negeri Selangor sehingga menggesa rombakan exco tetapi bersuara lantang ketika pesuruhjaya negerinya mengkritik satu bahagian dalam kerajaan negeri.

Ada pihak dalam PAS Selangor pula melihat Khalid dan wakil-wakil Pakatan Rakyat tidak bersikap adil kerana hanya mengkritik PAS sedangkan sejak selepas pilihan raya umum 2008, tidak ada wakil PAS terlibat dalam lompat parti seperti dilakukan beberapa orang wakil PKR dan DAP.

Afyan Mat Rawi, Ketua Penerangan Pemuda PAS Gombak dalam satu tulisannya di laman organisasi itu menimbulkan pertanyaan mengapa "apabila sedikit teguran daripada PAS kepada kerajaan PR, ada yang melenting tidak tentu hala. Kemudian akan dibidas, 'mengapa tidak dibawa berbincang di dalam mesyuarat Pakatan Rakyat?'"

"Namun, tindak-tanduk rakan-rakan PR yang lain, adakah 'dibawa berbincang dalam mesyuarat Pakatan rakyat?' Exco DAP mengarahkan memulangkan arak, adakah 'dibawa berbincang dalam mesyuarat Pakatan rakyat?' Tidak!"

"MP dan Adun PKR meletak jawatan, adakah 'dibawa berbincang di dalam mesyuarat Pakatan Rakyat?' Tidak!," jelasnya.

Pengkritik-pengkritik Hassan telah merumitkan keadaan dengan secara terbuka menimbulkan isu kedudukan PAS dalam Pakatan dan memberi tumpuan pada Hassan yang dituduh mewakili kepentingan Umno, menjadikan debat terbuka berhubung kritikan kepada Selcat ini semakin kompleks dan membawa masalah kepada PAS, sedangkan isu berhubung Selcat masih tidak dijawab.

Tiada ulasan: