Mohd Shubihi Muhamad Zain
ALOR SETAR, 17 Jan: PAS menyambut baik titah dan saranan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah agar rakyat berwaspada dan menolak sebarang percubaan pihak tertentu yang melibatkan istana dalam apa-apa isu berbangkit.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena ulang tahun ke-83 keputeraan baginda di Istana Anak Bukit, semalam.
Pada majlis istiadat itu baginda bertitah mengingatkan rakyat agar memelihara keamanan serta menumpukan usaha untuk meningkatkan taraf hidup dan tidak perlu gusar tentang ancaman atau gangguan keselamatan ke atas mereka.
"Peristiwa yang berlaku di beberapa tempat lain akan menyebabkan timbulnya perpecahan di kalangan rakyat kerana kadangkala permainan politik tidak mengambil kira ketenteraman awam dan kecetusan huru-hara," titah baginda.
Menurut Mahfuz, Sultan Kedah yang berpengalaman luas dan bakal menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Oktober nanti pastinya melihat gejala ini sebagai yang membimbangkan dan boleh menyebabkan keamanan dan kesejahteraan rakyat diganggu gugat.
Mahfuz berpendapat, kebimbangan baginda terhadap pihak tertentu dan isu berbangkit yang dimaksudkan dalam titah tersebut adalah merujuk kepada tindakan pemimpin Umno mengheret institusi istana dalam pertembungan politik di beberapa negeri kebelakangan ini.
"Titah baginda itu pastinya merujuk kepada pertelingkahan politik di Perak dua tahun dulu hingga mengakibatkan tumbangnya kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah mengikut amalan demokrasi.
"Begitu juga dengan isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini, juga mengenepikan kerajaan yang sah dan mengheret raja untuk menghalalkan perbuatan mereka," katanya.
Ekoran itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mengingatkan mana-mana pemimpin politik terutamanya dari kalangan Umno yang dilihat rakus mengheret institusi istana dan raja-raja ke kancah politik mereka agar menghentikan tindakan tidak beradab itu.
"Pertembungan politik biarlah ahli politik yang bertarung sesama ahli politik, jangan seret institusi raja-raja dan jangan calarkan imej serta kemuliaan istana untuk agenda politik kepartian Umno," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan