Salman Hussin
LABIS, 17 Jan: Pakatan Rakyat kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memindahkan pengundi dari tiga Unit Peti Undi (UPU) di Dun Tenang yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.05 Tenang, Dzulkefly Ahmad menyifatkan tindakan tidak profesional itu jelas menunjukkan sikap SPR memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Katanya, kesemua UPU itu iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Labis, Bandar Labis Timur dan SJK Tamil Labis, adalah kawasan pengundi Cina yang mengundi PAS pada PRU 2008 dan PAS menang di kesemua peti undi tersebut.
Maklumat yang diperolehi dari SPR, ujarnya mendapati pengundi yang sebelum ini mengundi di UPU SJKC Bandar Labis Tengah dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin Jalan Kampung Tenang, pengundi di UPU Bandar Labis yang sebelum ini membuang undi di SMK Sri Labis dipindahkan ke Dewan Bola Keranjang JKKK Labis Jalan Segamat manakala pengundi UPU Bandar Labis Timur yang sebelum ini mengundi di SJK Tamil Labis pula dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah.
Menurut Dzulkefly, tindakan SPR menukar tempat mengundi itu bertujuan untuk mengeliru dan menyusahkan pengundi Cina.
“Sebelum ini pengundi Cina di kawasan Bandar hanya perlu berjalan kaki untuk ke tempat mengundi kerana jaraknya dekat dengan tempat tinggal mereka tetapi sekarang mereka terpaksa ke tempat mengundi yang jaraknya sekitar empat hingga lima kilometre dan ini akan menyukarkan mereka.
“Bahkan lebih membimbangkan lagi sekiranya mereka tidak membuat semakan daftar pemilih di saat-saat akhir yang memungkinkan mereka tidak dapat mengundi setelah nama mereka tiada di dalam daftar pemilih di UPU tersebut,” ujarnya.
Dzulkefly yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, turut mendedahkan taktik lawan yang akan menaikkan kain rentang serta menabur risalah yang berbaur fitnah dan perkauman bertujuan menimbulkan ketegangan sepanjang PRK Tenang.
Bagaimana pun menurutnya, PAS dan Pakatan Rakyat akan memantau perkembangan itu dengan mewujudkan pasukan khas yang akan membuat rondaan secara berterusan bagi memastikan PRK Tenang berjalan dengan aman dan harmoni.
“Pasukan khas ini akan menjalankan rondaan sepanjang 24 jam dan kita akan bekerjasama dengan pihak keselamatan jika ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab cuba mengeruhkan suasana,” katanya.
Selain itu beliau turut menegaskan, pasukan khas ini juga akan memantau salah laku jabatan serta agensi-agensi kerajaan yang berkempen bagi pihak BN.
“Kita sudah ada maklumat berhubung penyalahgunaan kuasa beberapa agensi kerajaan negeri dan Pusat yang berselindung di sebalik program-program rasmi kerajaan berkempen untuk BN, ini satu amalan yang jelas menyalahi peraturan bagi penjawat awam.
“Kita akan terus memantau perkembangan ini serta bertindak sewajarnya jika pihak-pihak terbabit terus menyalahgunakan kuasa,” tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan