"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ancam hendak bunuh lelaki, bekas ketua aktivis PPIM Kelantan kena dakwa

Harapandaily

Fared (kanan) di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini. – Foto NSTP
Buat ugutan jenayah dengan mengancam hendak membunuh seorang lelaki berusia 40 tahun sambil memegang sebilah pisau.

Itu pertuduhan pertama dikenakan terhadap bekas ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan, Datuk Mohd Fared Abdul Ghani.

Berdasarkan pertuduhan tersebut, Fared, 56, didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas lelaki yang sama.

Jenayah itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di hadapan Restoran Nasi Lemak Dusun Muda, dekat Kampung Langgar di Kota Bharu, kira-kira 10 malam, pada 6 Januari lalu.

Susulan itu, Fared didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Dia bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Azahir Surainie & Azizan Ariff.

Muhammad Aiman mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam tertuduh memohon jaminan minimum memandangkan lelaki itu berusia 56 tahun dan mempunyai empat anak.

Jelasnya, Fared yang memberi kerjasama baik menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan paru-paru lemah serta perlu menjalani pemeriksaan berkala di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Tertuduh kemudian diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 15 Mei depan sebagai sebutan semula kes.

Tiada ulasan: