"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak dapat wang mencukupi, remaja upah 3 orang tembak bapa

Agensi

New Delhi: Gara-gara tidak cukup diberi wang, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di Uttar Pradesh, baru-baru ini, sanggup mengupah tiga individu untuk membunuh bapa kandungnya.

Portal NDTV melaporkan, polis berkata mangsa, Mohammed Naeem, 50, seorang ahli perniagaan maut ditembak mati oleh tiga penyerang yang menaiki motosikal di kawasan Patti, pada Khamis lalu.

Superintendan Polis, Durgesh Kumar Singh pada Sabtu berkata, susulan kejadian, ketiga-tiga suspek dan ditahan dan ia membawa kepada penahanan remaja berkenaan.

"Tiga suspek adalah Piyush Pal, Shubham Soni dan Priyanshu. Semasa soal siasat, suspek memaklumkan polis bahawa mereka didakwa diupah oleh anak Naeem untuk melakukan jenayah itu.

"Kemudian, anak Naeem yang masih di bawah umur itu mengakui bahawa dia mengupah tiga individu itu untuk membunuh bapanya.

"Remaja berkenaan berjanji untuk membayar enam lakh (kira-kira RM34,000) kepada mereka (penembak). Dia membayar 1.5 lakh (kira-kira RM8,500) terlebih dahulu dengan jaminan bahawa dia akan membayar bakinya sebaik sahaja mereka membunuh bapanya," pegawai itu berkata.

Menurut polis, remaja di bawah umur itu marah kepada bapanya kerana tidak memberinya wang yang mencukupi.

"Remaja itu berkata, dia sering mencuri wang di kedai atau barang kemas di rumah. Dia pernah merancang untuk membunuh bapanya pada masa lalu, tetapi gagal," kata pegawai itu.

Polis sudah menghantar penembak yang ditahan ke jel, manakala remaja bawah umur berkenaan dimasukkan ke pusat tahanan juvana.

Tiada ulasan: