NOOR HAYATI MAMAT
Anggota bomba sedang mengangkat mayat remaja lelaki yang mati lemas di Sungai Kerak, Marang hari ini.
MARANG – Seorang remaja lelaki yang dipercayai cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis mati lemas selepas terjun ke Sungai Kerak di sini malam tadi.
Mangsa berusia 18 tahun tersebut dipercayai terjun ke sungai itu pada pukul 11.25 malam sebelum mayatnya ditemui pada pukul 4.20 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Mohd. Razman Setapa berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis telah mengadakan pemeriksaan di dalam sebuah rumah berhampiran Jeti Sungai Kerak di sini.
“Tidak lama kemudian, mereka mendengar jeritan remaja tersebut meminta tolong dari sungai tersebut.
“Tangannya dilihat terkapai-kapai sebelum tenggelam ke dasar sungai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Razman berkata, operasi mencari dan menyelamatkan terus digerakkan sebelum mayat remaja itu dijumpai lebih empat jam kemudian.
Tambah beliau, mayat mangsa ditemui di dasar sungai sedalam kira-kira 2.5 meter kira-kira 10 meter dari lokasinya disyaki terjun ke dalam sungai berkenaan. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan