Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Sepang: Polis mengesahkan menyiasat dakwaan yang tular di media sosial membabitkan salah laku seksual seorang guru wanita terhadap pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, laporan dibuat ibu mangsa pada 12 Disember lalu mendakwa suspek yang berusia 37 tahun mencabul mangsa ketika mengulang kaji pelajaran bersama guru terbabit.
"Laporan dibuat 10.30 malam oleh ibu mangsa yang mendakwa terdapat kesan kemerahan pada bahagian leher anak lelakinya berusia 17 tahun selepas mangsa pulang dari ulang kaji pelajaran matematik bersama suspek.
"Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12 Disember kira-kira 4.50 petang apabila mangsa yang sepatutnya pulang ke rumah sebaliknya masih bersama suspek di perpustakaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa mendakwa dipeluk dan dicium oleh suspek sehingga meninggalkan kesan kemerahan pada lehernya menyebabkan ibu mangsa membuat laporan polis.
Katanya, mangsa sudah dirujuk ke hospital untuk tujuan pemeriksaan membabitkan kesan kemerahan pada lehernya.
Terdahulu kejadian itu menjadi perbualan ramai selepas hantaran yang dimuat naik oleh individu dipercayai ahli keluarga mangsa berhubung perbuatan suspek berkenaan menerima pelbagai netizen.
Mengulas lanjut Wan Kamarul Azran berkata, siasatan berhubung hantaran yang tular di media sosial itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Terhadap Kanak-kanak yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan.
"Siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita yang tidak benar berkenaan kejadian ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan