"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Otak lelaki terburai kena tetak

KAJANG: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kesan tetakan serta otak hampir terburai dalam kejadian di tepi Jalan Changkat, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira jam 10.30 malam.

Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian, polis menemui mayat mangsa berusia 30-an dalam keadaan terbaring di atas rumput bersebelahan sebuah motosikal.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditetak di bahagian kepala sehingga otak hampir terkeluar serta enam kesan kelar di bahagian badan, termasuk tikaman di dada dan perut.

“Malah, tangan mangsa yang belum dapat dikenal pasti identitinya itu hampir putus, dipercayai cuba dipotong suspek yang menyerangnya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Shakaruddin berkata, tiada sebarang senjata mahupun kad pengenalan diri milik mangsa ditemui di lokasi kejadian.

“Polis yakin kejadian serangan itu bermotifkan dendam dan menolak kemungkinan mangsa disamun kerana tiada wang tunai milik mangsa didapati hilang.

"Kami sudah menahan tiga lelaki berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas motosikal berkenaan mendapati kenderaan itu bukan milik mangsa dan mungkin dipinjam daripada rakannya.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kami meminta mana-mana waris atau orang awam yang kehilangan ahli keluarga tampil segera ke balai untuk membuat pengecaman identiti mangsa," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, polis melakukan tangkapan 28 penjaga dan pemilik premis yang menjadikan komputer di pusat perniagaan mereka sebagai alat perjudian.

40 serbuan dibuat bagi tempoh Januari hingga semalam, namun hanya 23 daripadanya memperoleh kejayaan dari segi tangkapan, termasuk rampasan kira-kira 315 komputer di premis kafe siber di sekitar Kajang.
-SinarHarian-

Tiada ulasan: