"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tuan Ibrahim ingatkan blogger jauhi tulisan fitnah

Khairil Abdul Rahim
TEMERLOH, 19 Jan: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan blogger-blogger yang menyokong perjuangan Pakatan Rakyat (PR) supaya menjauhkan daripada penulisan berbentuk fitnah atau menyerang peribadi seseorang kerana tidak menguntungkan parti.

Katanya, ini disebabkan pejuangan PR ialah menentang dasar BN bukannya peribadi justeru adalah lebih baik pengamal media baru secara lebih beretika memfokuskan tulisan mereka kepada penerangan dasar-dasar perjuangan dan tawaran-tawaran jika PR diberi peluang memerintah.

Berucap merasmikan Himpunan Dunia Media Baru Peringkat Kebangsaan anjuran Dewan pemuda PAS Pusat (DPPP) di Hotel Green Park kelmarin, beliau berkata penulisan yang menyerang peribadi boleh menjerumus ke arah fitnah.

“Kita kena ingat bahawa kita menentang dasar bukannya peribadi. Jadi adalah lebih baik dalam tulisan masing-msing kita fokuskan kepada dasar dan tawaran PR daripada lebih menumpukan serangan kepada individu. Umpamanya kita perluaskan lagi tawaran ‘100 hari’ Pakatan supaya lebih menyeluruh perbincangan rakyat.

“Sedangkan serangan peribadi kepada individu tertentu tanpa usul periksa kebenarannya boleh menjerumuskan kepada fitnah, tuduhan qazaf dan kekeliruan sehingga berpanjangan walaupun akhirnya cuba diperbetulkan,” tegasnya.

Beliau mengambil contoh pertemuan Mursyidul Am PAS dengan Yang Di Pertuan Agung dan Perdana Menteri di Istana Negara baru-baru ini. Seorang blogger telah menulis seorang pemimpin PAS yang lain turut bersama walhal pemimpin berkenaan tidak pergi.

“Inilah yang saya katakan supaya berhati-hati dalam menyampai dan memanjangkan maklumat supaya berita yang tersebar tidak menjadi fitnah berpanjangan.

“Jangan hanya mahu menjadi kita orang pertama tahu, kita lupa bahawa tulisan yang baik akan mendapat ganjaran pahala dan begitulah sebaliknya,” jelasnya.

Tuan Ibrahim berkata demikian di hadapan kira-kira 100 orang blogger yang datang dari seluruh Pahang dan ibu negara. Dua kertas kerja dibentangkan dalam program sehari itu iaitu oleh Pengarah Akademi tarbiyyah Pemuda PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan blogger terkenal di Pahang Shukri Ramli.

Di akhir program, Ketua DPPP Nasruddin Hassan telah melancarkan Task Force Media Baru DPPP.

Sementara itu Pengerusi Kelab Blogger PAS Pusat Zaidi Abdul Mutalib dalam ucapan aluannya menggesa blogger, pengguna laman sosial facebook dan twitter penyokong PAS mengambil kesempatan menyebarkan misi, visi, serta dasar perjuangan parti melalui media baru itu.

Beliau yang juga Exco pemuda PAS Pusat berkata, ini merupakan ruang dan peluang terbaik disebabkan pengguna siber yang tinggi di negara ini.

“Pengguna Facebook di Malaysia antara yang tertinggi di dunia iaitu lebih 7 juta orang. Pengguna jalur lebar pula mencecah 1.8 juta. Pengguna internet seluruh negara mencecah 22 peratus. Lima negeri melebihi peratusan pengguna internet nasional iaitu Kuala Lumpur 54%, Pulau Pinang 36%, Selangor 38% dan Labuan 25%. Sementara Pahang 16%.”

Tambahnya, ruang dan medan yang ada boleh digunakan juga bagi menjawap pelbagai tohmahan pihak berkuasa yang selama ini menguasai media tradisional arus perdana.

Tiada ulasan: