"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apco Worldwide Di Sisi Lain

Azizi Abdullah

Bolehkah kita melihat isu APCO Worldwide dari sisi lain, bukan politik? Yang hairannya golongan agamawan, baik pihak kerajaan atau NGO atau ulama atau pendakwah tersangat asing persoalan ini, seolah-olah mereka hanya asyik baca kita nikah cerai, faraid atau muamalat sahaja. Masakan ‘iqtisadiah’ dan ‘siasiah’ Islam dengan politik antara bangsa orang-orang agamawan seperti ini tidak tahu?

Ini bukan soal politik dan bukan soal menentang kerajaan, tapi apabila soal Asiasoft menjadi lorong dan denai perisik Israel, maka apakah kita rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak menjadi sensitif? Sudah seribu empat larut tahun Qur`an cerita tentang Yahudi, tentang Israel. Hari ini kita masih berbahas tentang kebaikan mereka.

Pohon maaf, jangan ambil tulisan ini menjurus kepada politik dan beranggapan, ini tulisan yang menentang kerajaan. Ini persoalan bersama, persoalan negara kita yang barangkali kita terlupa dengan peringatan Qur`an.

Oleh kerana itu tertanya-tanyalah kita, di mana cendekiawan agama, pendakwah, institusi-institusi agama, JAKIM? YADIM dan lain-lain NGO Islam atas dasar umat yang mengetahui tetapi tidak berani menegur..

Jangan pandang dan jangan buat kesimpulan yang tulisan ini busuk hamis dengan peluh politik pembangkang. Mari kita lihat sisi lain betapa APCO Worldwide, telah menjadi lorong denai dan kubang bagi Israel dalam Asiasoft. Jangan anggap taktik pembangkang Mari kita ambil sisi lain; APCO dan adik beradiknya yang didakwa dari Israel, kenapa agamawan tidak main peranan?

Sepatutnya bukan pembangkang tetapi ulama, pendakwah, JAKIM, YADIM, badan-badan Islam, para mufti, Jabatan Mufti, Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang awal-awal lagi bangun membantah atau setidak-tidaknya bersuara tentang ini. Persoalan Yahudi, Israel persoalan agama. Diplomatik pun kita tidak ada.

Kita berharap jangan ada alasan, itu soal politik. Kami tidak boleh sebuk dan mencelah dalam soal politik. Tidak, bagi kita ini bukan politik semata-mata. Soal Israel, soal Yahudi adalah soal agama. Ia lebih kepada prinsip dan juga aqidah umat Islam, termasuk pemimpin yang beragama Islam.

Seingat kita, tak ada seorang pendakwah pun, yang berceramah apa saja tajuk, yang bersetuju, yang berkenan kepada Israel. Tuan-tuan guru yang melepok di serambi masjid, juga berceramah meluat kepada Yahudi walaupun bukan semua Yahudi itu jahat. Tok-tok guru berbuih mulut mengutuk Yahudi. Kita pernah kempen memboikot Israel.

Malah dalam Al-Qur`an ada diklasifikasi ayat-ayat yang menunjukan mengapa Allah mengutuk Yahudi dan Nasara. Di antaranya dalam surah Al-Baqarah, dalam surah Al-Imran, surah An Nisa, surah Al Maidah dan lain-lain surah yang menggambarkan kejahatan Yahudi, kebejatan Yahudi dan lain-lain punca bencana sepanjang zaman. Malah mereka juga merupakan golongan hamba yang memungkiri janji, tegar dengan Allah.

Kita sering didedah dengan ceramah dan penerangan lain supaya benci Yahudi berdasarkan kepada kisah-kisah dalam Qur`an. Malah kita pernah memboikot barangan Israel. Tak seorang pun ulama, mufti dan institusi agama di pihak kerajaan yang suka, tiba-tiba soal APCO Worldwide, Asiasoft menjadi semua mulut terkunci. Yang anihnya bayang-bayang Yahudi dan Israel ini mendapat pembelaan pula dari kalangan umat Islam.

Kita yakin jawapannya bukan kerana kepintaran Datuk Seri Anwar melalui politiknya tetapi kerana para ulama kita, cendekiawan agama kita, pendakwah kita, tuan guru kita, menteri hal ehwal agama kita, JAKIM kita, YADIM kita, Pusat Islam kita, NGO Islam kita tidak ada akal yang panjang, tidak tahu keadaan semasa, tidak pernah berfikir sepuluh tahun ke hadapan. Mereka cuma baca kitab apa yang ada dalam kitab. Mereka tidak pernah menjadi pemikir. Mereka tidak pernah menjadi pemerhati yang kritis dan paling licik mereka jadi penakut dan pak turut. Bagi mereka Yahudi dan Israel cerita keburukan di dalam Qur`an, cerita tentang Nabi Yaakob, Nabi ishak, Nabi Isa. Bagi mereka Israel ialah penjenayah umat Islam di Palestin. Itu sahaja!

Apakah pendakwah kita memiliki ilmu yang terhad, tidak berani memantau hal-hal agama, melainkan sekadar mengkritik soal budaya Yahudi, muzik Yahudi, pakaian Yahudi. Tetapi soal seperti APCO mereka seperti tidak ada pengetahuan.

Apakah memang benar para cendekiawan agama kita, pemimpin agama kita, pendakwah kita, menteri-menteri kita, JAKIM kita, Hal Ehwal Islam kita tidak panjang akal dan tidak merasa bertanggung jawab?

Kita terkongkong dengan cerita lama dan tidak berani melihat Yahudi dari jendela dunia sekarang maka agamawan kita seperti tuan guru, pendakwah dan menteri hal ehwal agama kita hanya mengenali Yahudi dan Nasrani melaui kisah-kisah melanggar perjanjian tangkap ikan hari Sabtu dalam Surah Al Baqarah ayat 65 dan kisah-kisah lain ayat 40,41,62 sahaja.

Apakah agamawan kita, terutama yang berada di kerusi pemerintah, seumpama hal-hal kemuftian, perundangan, institusi agama, yang golongan ini menjadi tempat rujukan tidak mengetahui yang Yahudi/ Israel bukan jahat mereka dalam cerita Qur`an sahaja tetapi mereka terus memain peranan bertaraf dunia. Apakah agamawan seperti ini tidak berani merentas politik demi agamanya?

Wallahu aklam. Mungkin Pak Leman dari Uluyam berkata; Hang pun sama. Piirraaahhh!

Tiada ulasan: