Dua anggota polis (bergari) diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) keluar dari Hospital Pulau Pinang selepas mendapatkan rawatan akibat kecederaan semasa pergelutan dengan pegawai SPRM di George Town, Selasa. Dua anggota polis itu disyaki menerima suapan RM800 dan tahan oleh dua pegawai SPRM yang menyamar sebagai orang awam, di Persiaran Gurney. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Dua anggota polis mengalami kecederaan ringan ketika cuba melarikan diri daripada ditangkap oleh pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Persiaran Gurney, di sini, Isnin.
Dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari itu, kedua-dua anggota polis itu berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan pegawai SPRM di tempat kejadian.
Menurut sumber, SPRM sebelum itu menerima aduan dari orang awam mengenai kegiatan dua anggota polis itu meminta rasuah daripada pesalah trafik di kawasan itu.
Katanya, dua anggota SPRM kemudian bergegas ke kawasan itu dan menyamar sebagai orang awam dan melakukan kesalahan trafik di hadapan anggota polis terbabit sebelum mereka ditahan dan diminta rasuah sebanyak RM800.
Setelah kedua-dua anggota SPRM itu memberi rasuah seperti yang diminta, dua anggota SPRM lain menyerbu dan menangkap anggota polis terbabit, katanya.
Sumber itu berkata, kedua-dua anggota polis itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan pesakit luar sebelum ditahan mengikut Seksyen 17 (A) Akta SPRM.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Latifah Md Yatim, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan enggan mengulas lanjut.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan