Nazri Abdullah
SHAH ALAM, 2 Mei: Bagi mendokong kebebasan media, Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor akan mengkelaskan semula dokumen negeri yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Sempena sambutan Hari Kebebasan Media esok, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pengkelasan semula itu sudah pun dibuat terhadap beberapa dokumen menggunakan peruntukan kuasa menteri besar.
Ianya bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat sebenar dalam beberapa isu yang ditangani oleh kerajaan negeri.
"Kerajaan Negeri Selangor akan membawa usul Akta Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act) sebagai satu dokongan kepada Kebebasan Media.
"Setakat ini beberapa dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) telah dikelaskan semula menggunakan peruntukan kuasa Menteri Besar bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat sebenar dalam beberapa isu yang ditangani oleh Kerajaan Negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan.
Tarikh 3 Mei setiap tahun, masyarakat dunia menyambut Hari Kebebasan Media.
Pada 2009, indeks yang dibangunkan oleh Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Without Borders), Malaysia berada di tangga 131, meningkat satu anak tangga daripada kedudukan ke-132 bagi tahun 2008.
Namun indeks prestasi Kebebasan Media di Malaysia kian merosot iaitu markah 39.50 mata kepada 44.25 mata (mata 0.00 adalah yang terbaik dan 100 adalah yang terburuk).
Negara Malaysia hanya lebih baik daripada Zimbabwe dan Nigeria sekitar 2 mata..
"Di Malaysia, kita maklum tentang kawalan keterlaluan Kerajaan Persekutuan terhadap media di mana kes terbaru ialah perletakan jawatan Penerbit di NTV7, saudara Joshua Chong.
"Kita juga sedar bahawa ada media yang ditekan dan wartawan yang dipenjara bahkan ditahan tanpa bicara. Lebih dahsyat daripada itu, dokumen bukti rasuah juga tidak dapat dimajukan dengan adanya cop Rahsia Rasmi di atasnya," ujar Khalid lagi.
Keadaan ini ujarnya hanya boleh diperbaiki melalui iltizam politik (political will) dan akan diperjuang oleh kerajaan negeri yang dipimpin pakatan rakyat pada waktu ini.
"Kerajaan Negeri Selangor yakin media yang bebas dapat membantu kerajaan untuk meningkatkan prinsip yang didokong oleh Kerajaan Negeri Selangor iaitu tadbir-urus yang baik, telus dan bertanggungjawab," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan