"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis serah penubuhan s'jaya diraja kepada k'jaan

Polis menyerahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sama ada untuk menubuhkan atau tidak suruhanjaya siasatan diraja yang diminta oleh keluarga Amirulrasyid Amzah, remaja 14 tahun yang mati akibat terkena tembakan polis di Shah Alam minggu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata polis akan bekerjasama dengan semua pihak bagi membantu siasatan kes itu untuk mencari keadilan.

"Itu terpulang kepada kerajaan sama ada nak tubuh atau tidak suruhanjaya itu," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan khas pegawai awam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena peringatan Hari Polis ke-203 di ibunegara hari ini.

Semalam, bapa saudara Aminulrasyid, Kamarudin Hassan yang bercakap bagi pihak keluarga itu berkata, suruhanjaya itu diharap akan menjalankan siasatan secara bebas dan telus.

Berhubung sidang akhbar yang diaturkan oleh keluarga Aminulrasyid dan disertai rakan mangsa, Muhamad Azamuddin Omar, 15, semalam, Musa berkata: "Itu dia punya versi... Di mahkamah nanti dia kena bagi tahu juga."

Sementara itu, Musa berkata sehingga kini seramai 4,000 anggota polis beruniform yang bertugas di pejabat telah ditugaskan menjalankan tugas di luar pejabat.

"Seramai 861 penjawat awam di seluruh negara telah mula bertugas di pejabat bagi menggantikan anggota beruniform, namun jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung tugas anggota beruniform yang ditugaskan di luar pejabat," katanya.

Beliau berkata pihaknya telah meminta kepada kerajaan untuk mempercepatkan penukaran penjawat awam bertugas di dalam PDRM bagi mengelakkan lambakan kerja di pejabat.

Di majlis itu seramai 51 orang penjawat awam PDRM di seluruh negara menerima surat penghargaan ketua polis negara atas khidmat cemerlang mereka dalam menjalankan tugas.

-Bernama-

Tiada ulasan: