"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RM2.7 juta naik taraf surau Universiti La Trobe Melbourne

MELBOURNE, 2 Mei: Surau untuk kemudahan pelajar Islam menunaikan solat di Universiti La Trobe di sini telah dibuka semula selepas dinaik taraf membabitkan kos A$927,000 (RM2.725 juta).

Presiden Persatuan Islam universiti itu Mohamad Tabbaa berkata surau itu kini dilengkapi dengan bilik air baru, permaidani dan alat pemanas hawa serta saiznya diperbesarkan dua kali ganda bagi memenuhi keperluan pelajar Islam yang semakin meningkat di universiti itu.

La Trobe mempunyai kira-kira 1,500 pelajar Islam.

“Mempunyai bilik air untuk berwuduk dan kemudahan surau bermakna kami mempunyai lebih banyak masa untuk belajar dan pada masa yang sama mudah untuk bersolat,” kata Tabbaa kepada akhbar Leader.

“Bersolat merupakan sesuatu yang amat peribadi dan unik kepada pelbagai agama dan adalah sesuatu yang amat melegakan untuk mempunyai tempat untuk berwuduk sebelum menunaikan solat.

“Ia mungkin dilihat sebagai anti-sosial jika kami membasuh kaki kami di tandas pelajar dan terdapat banyak gerakan semasa bersolat, yang mungkin ditafsirkan secara berbeza oleh mereka yang tidak faham dengan agama kami,” katanya.

Beliau berkata surau baru itu boleh memuatkan 300 jemaah, satu perubahan yang amat dialu-alukan selepas sebelum ini pelajar terpaksa bersolat di luar apabila surau lama penuh.

“Kami amat gembira dengan perubahan ini dan amat menghargai apa yang telah dilakukan oleh universiti ini,” kata Tabbaa.

Naib Canselor universiti itu Profesor Paul Johnson memberitahu akhbar itu bangunan yang telah dinaik taraf itu akan membantu pelajar memenuhi tuntutan pelajaran mereka dan juga menunaikan solat.

Universiti itu juga mengeluarkan panduan baru kepada pelajar Islam, yang mengandungi maklumat mengenai lokasi makanan halal, masjid dan persatuan pelajar Islam.

-Bernama-

Tiada ulasan: