BANDUNG: Menjelang akhir perbicaraan kes penyebaran klip video lucah, peguam Ariel yakin vokalis kumpulan Peterpan itu akan dibebaskan hakim tidak lama lagi. Alasan diberi mereka adalah bagaimana penyanyi itu memberi pengakuan terhadap tuduhan dikenakan ke atasnya.
Peguam bela Ariel, Alfian Bonjol, berkata penyanyi itu memberi pengakuan dalam keadaan dipaksa pihak berkuasa.
“Ariel dituduh membantu menyebarkan klip video lucah itu dan dia dipaksa untuk mengakuinya. “Setakat ini tiada bukti dia membantu menyebarkan klip itu tetapi masih dipaksa untuk mengaku,” katanya selepas mahkamah selesai sidang semalam.
Ariel yang popular dengan lagu Ada Apa Denganmu itu didakwa menyebar klip video lucah memaparkan dirinya mengadakan hubungan seks dengan dua selebriti televisyen Indonesia, Cut Tari dan Luna Maya.
Sebelum dikenakan tuduhan di mahkamah, pihak pendakwa yakin Ariel bersalah kerana banyak bukti terhadapnya diperoleh.
Pendakwa juga berkata, Ariel banyak berhelah ketika disoal siasat berbanding Cut Tari yang terus mengaku mengadakan hubungan intim dengan penyanyi itu.
Kata Alfian, Ariel berbelit ketika disoal balas kerana dia tidak terbabit menyebarkan klip video berkenaan.
Katanya, klip video itu tersebar secara tidak sengaja dan dieksploitasi orang lain.
“Justeru kami yakin Ariel akan dibebaskan,” katanya.
Sementara itu, pendakwa berpendapat, hakim wajar menolak semua hujah pembelaan Ariel dan layak dipenjara lima tahun.
-Agensi-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan