"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fahmi: Lebih tepat banding tangkapan ‘pakcik’ hina Sanusi

Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil membidas pengkritik yang cuba menyamakan penahanan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor dengan tindakan sama terhadap Anwar Ibrahim pada zaman reformasi 1998.

Fahmi berkata perbandingan lebih tepat dengan penahanan Sanusi pada jam 3 pagi sebelum dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang semalam sepatutnya dibuat membabitkan tangkapan seorang lelaki berusia 61 tahun kerana mengeluarkan kenyataan jelik terhadap pemimpin PAS itu pada 2021.

“Ada seorang pakcik yang ditahan 3 atau 4 pagi kerana didakwa menghina Sanusi, saya rasa itu mungkin satu perbandingan tepat.

“Ambil pengajaran dan jangan sesekali menghina institusi raja, jangan cuba lagakan rakyat dan raja…ini batas yang tidak boleh kita lepasi,” katanya ditemui selepas sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan.

Mengikut laporan media pada 9 Ogos 2021, lelaki berusia ditahan sepasukan polis dari Kedah di rumahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan kira-kira 4 pagi.

Penahanan dibuat susulan laporan polis dibuat pegawai Sanusi mendakwa lelaki itu menerusi Facebook mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN).

Fahmi mengulas kritikan beberapa penganalisis politik yang menganggap penangkapan Sanusi pada jam 3 pagi seperti mengimbas kembali penahanan Anwar pada 1998, seolah-olah mangsa penindasan politik.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata penahanan dibuat selepas Sanusi dan setiausahanya “menolak semua panggilan telefon” daripada polis yang mahu mamaklumkannya supaya hadir ke mahkamah.

Semalam, Sanusi mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menghasut terhadap raja, berkait ucapannya dalam satu ceramah di Taman Selayang Mutiara, Gombak pada 11 Julai.

Dua pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: