"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 beranak ditahan edar vape campuran ganja

FMT Reporters

PETALING KAYA: Seorang lelaki berusia 49 tahun, anak lelaki dan menantunya, masing-masing berusia 24 tahun, ditahan Sabtu lepas kerana mengedar cecair vape campuran jus ganja kepada orang ramai di sekitar Segamat, Johor.

Bersama penahanan ketiga-tiga suspek dalam dua serbuan berasingan, polis merampas 58 botol cecair vape dipercayai campuran jus ganja serta serbuk methamphetamine dengan nilai keseluruhan RM11,840.

Penangkapan dan rampasan itu dibuat hasil risikan polis susulan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran cecair vape “perisa istimewa” itu kepada penagih, pelajar dan orang awam, menurut Ketua Polis Segamat Ahmad Zamry Marinsah.

Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Segamat menahan suspek pasangan suami isteri di kediaman mereka di kawasan sekitar Paya Pulai, Segamat.

“(Pada) hari sama, pasangan suspek kemudian membawa polis ke sebuah kediaman di Buloh Kasap sehingga membawa kepada penangkapan lelaki berusia 49 tahun juga bapa juga mertua (pasangan suspek),” katanya pada sidang media di IPD Segamat, lapor Harian Metro.

Ahmad Zamry berkata, ujian air kencing menunjukkan suspek lelaki berusia 24 tahun positif methamphetamine, serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi.

Katanya, kesemua suspek didapati aktif sejak beberapa bulan lepas mengedar cecair vape campuran jus ganja untuk pasaran tempatan.

Kesemua suspek direman empat hari mulai semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tiada ulasan: