"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saifuddin minta MB dedah identiti pelawat China berkaitan projek nadir bumi

Malaysiakini

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mahu  menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan identiti seorang lelaki warga China yang ditahan di sebuah Hutan Simpan Bukit Enggang Sik berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) pada Januari lalu.

Berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang, di Seberang Jaya, malam semalam, Saifuddin berkata Sanusi perlu segera memberi penjelasan mengenai isu yang menyelubungi projek milik Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) itu.

Katanya, lelaki warga asing itu masuk ke negara ini dengan menggunakan pas sosial iaitu pas lawatan dan didapati memperoleh visa untuk bekerja dengan MBI Kedah.

"Malam tadi saya sebut dua perkara mengenai Sanusi dan hari ini dia jawab sampai heret penjawat awam sekali. Jadi malam ini, saya nak tanya Sanusi lagi supaya dia boleh jawab esok.

"Adakah dia boleh sahkan kenapa lelaki itu diberikan pas lawatan ikhtisas dan bekerja dengan MBI kemudian ditangkap di Hutan Simpan Kedah? Kenapa dia ditangkap?

“Bolehkah Sanusi jelaskan mengapa Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah Muhamad Sobri Osman bersama sekumpulan warga China kemudiannya menubuhkan syarikat berdaftar di Malaysia, walaupun individu ini masuk dengan pas lawatan sosial?

"Jika mereka kemudiannya menjadi pengarah dalam syarikat itu, saya minta Sanusi senaraikan berapa ramai orang yang dia benarkan untuk bersama dengan Sobri," kata Saifuddin.

Dia kemudian mendakwa bahawa dirinya mempunyai gambar mereka yang ditangkap itu berjumpa dengan Sanusi.

Sabtu lalu, Saifuddin mendakwa Sanusi dikenakan kompaun berjumlah RM500,000 kerana terlibat dalam kejadian mencuri REE di Kampung Chong, Sik. 

Menjawab perkara itu, Sanusi dengan tegas menafikan bahawa baik dirinya mahupun MBI tidak dikenakan denda, sebaliknya pihak ketiga yang didenda, dan berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin berhubung dakwaan itu.

Menurut NST, Sanusi berkata pihak yang didenda itu adalah seorang individu dari Kuala Krai, Kelantan.

Dia dilaporkan telah menunjukkan kepada media dokumen sokongan berkaitan kes tersebut.

Sementara itu, Saifuddin tetap dengan pendiriannya dan menyatakan tiada mana-mana pihak yang terlibat boleh menafikan MBI Kedah dikenakan denda oleh pengarah Pejabat Tanah dan Galian Kedah.

"Surat kompaun yang dihantar ke MBI bukan dongeng dan ia memang wujud. 

“Siapa curi dan siapa bayar itu soal nombor dua, faktanya ada surat kompaun dihantar kepada MBI dan itu tak berubah,” katanya.

Tiada ulasan: