"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan takbir untuk politik kepartian: Jabatan agama Islam Kedah perjelas panduan takbir

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Beberapa panduan berhubung laungan takbir di Kedah hanya bertujuan memastikan ia tidak dipolitikkan oleh sesiapa, kata Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEIK).

Pengarah JHEIK Abd Ghani @ Zulkifli Zainuddin berkata laungan takbir tetap dibenarkan untuk tujuan ibadat.

“Kalau laung ‘Allahu Akbar’ (Allah Maha Besar) masa nak sembahyang takkan tak boleh. Kalau tak boleh nak sembahyang macam mana,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, sebuah laman media sosial memuat naik surat Pejabat Agama Daerah Kulim kepada sebuah masjid berhubung tidak melaksanakan perkara yang dianggap mempunyai unsur politik, susulan aduan mengenai laungan takbir selepas zikir dan doa solat berjemaah.

Ia mengundang pelbagai reaksi negatif warganet yang mempersoalkan motif JHEIK mengeluarkan panduan berkenaan.

Ghani menjelaskan pihak berkuasa bertindak atas aduan daripada makmum masjid berkenaan, dan disusuli siasatan.

“Adakah ia amalan selalu atau baru berlaku… kita lihat dan siasat dulu,” katanya.

Ghani berkata tujuannya bagi memastikan keharmonian dalam masjid dan mencegah pecah belah, selaras dengan titah Sultan Kedah yang tidak mahu masjid menjadi tempat berpolitik.

“Apa sahaja aktiviti dalam masjid yang berunsur kepartian di seluruh Kedah kita tak bagi, sebab ini tempat ibadah,” katanya.

Ghani menegaskan masjid harus menjadi tempat yang harmoni bagi semua walau apapun fahaman politik.

“Jangan buat perkara yang timbul keresahan orang lain,” katanya.

Tiada ulasan: