"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dakwa buat ‘fitnah jahat’, Sanusi mahu saman Saifuddin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sanusi Md Nor mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Saifuddin Nasution Ismail susulan kenyataannya berkaitan isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dan kecurian unsur nadir bumi (REE).

Menteri besar Kedah itu berkata, maklumat dinyatakan menteri dalam negeri itu tidak benar kerana bersifat mengelirukan, berniat jahat untuk memfitnah dan bermotifkan politik.

Beliau berkata, Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah tidak dikompaun atas kesalahan mencuri REE, sebaliknya agensi tersebut dikenakan tindakan itu selaku pemegang permit ladang hutan di kawasan berlaku kecurian.

“Satu permit penggunaan dikeluarkan atas nama MBI yang melantik satu syarikat usaha sama untuk membangunkan ladang hutan, bukan syarikat berkenaan yang dikompaun.

“Yang dikompaun adalah pihak ketiga yang menceroboh dan melakukan kegiatan mencuri (REE). Dalam dokumen Pejabat Tanah dan Galian (PTG) terdapat nama individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara 1965,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah di daerah Bandar Baharu.

Ketika berucap pada Jelajah Perpaduan Madani Peringkat Negeri Kedah di Guar Chempedak malam tadi, Saifuddin dilaporkan meminta penjelasan Sanusi sama ada telah menerima surat kompaun RM500,000 berhubung dakwaan berlaku kecurian REE di Kampung Chong, Sik.

“Saya nak tanya Sanusi, sebagai menteri besar kamu juga pengerusi MBI, saya nak tanya ada tak dapat surat daripada Fauzi Mustaffa Pengarah Tanah dan Galian Kedah pada hujung tahun lepas, surat yang mengkehendaki MBI membayar kompaun RM500,000 kerana mencuri nadir bumi di Kampung Chong, Sik,” katanya.

Sanusi ketika mengulas lanjut, menggambarkan apa diperkatakan Saifuddin seperti menuduhnya “mencuri”.

“Untuk tuduhan-tuduhan yang tidak benar ini saya telah mengarahkan pegawai saya untuk membuat laporan polis dan tindakan akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang tak kira menteri tak menteri saya akan saman.

“Menuduh saya mencuri itu ‘clear cut’ (terang-terang) saya akan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Sanusi menjelaskan baki peruntukan Marris yang tidak dibelanjakan sebanyak RM259 juta disimpan dalam simpanan tetap kerajaan negeri dan ia dilaporkan dalam penyata kewangan serta diaudit Jabatan Audit Negara.

“Tidak ada langsung salah guna peruntukan seperti yang disebut oleh menteri. Jika ada salah laku sudah tentu perkara ini telah dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara.

“Apa yang dibangkitkan oleh Audit Negara adalah baki peruntukan sebelum tahun 2014. Jika hendak dikatakan menyalahi tatakelola pengurusan kewangan, salah laku ini berlaku sebelum tahun 2014 bukan semasa pentadbiran kerajaan saya,” katanya.

Semalam, Saifuddin mendakwa Sanusi menggunakan wang Marris bagi penyelenggaraan jalan bagi tujuan pembangunan lain.

Beliau berkata, rentetan daripada teguran Ketua Audit Negara, Kedah meminta menteri kewangan membenarkan wang Marris dipindah ke akaun pembangunan, katanya memetik Berita Harian.

Tiada ulasan: