Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
Ipoh: Wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan membunuh bayi perempuan yang juga anak asuhannya yang berusia enam bulan, minggu lalu.
Tertuduh, Tan Wooi Cheng, 51, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S Punitha, namun tiada pengakuan direkodkan.
Wanita itu dituduh membunuh bayi perempuan berusia enam bulan di sebuah rumah di Chemor, di sini antara tengah malam 9 Julai dan 11 pagi, 12 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan boleh juga dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam, J Matthews.
Sebelum ini media melaporkan mangsa dihantar ke hospital dalam keadaan koma dipercayai didera di rumah pengasuhnya di Chemor.
TAN dituduh membunuh bayi diasuhnya berusia enam bulan di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO L Manimaran.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan dilapor berkata, laporan polis kes itu diterima pada 12 Julai lalu dan mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.51 petang, 14 Julai lalu.
Suspek mengasuh mangsa secara sepenuh masa sejak Mac lalu berikutan ibu bapa kandungnya bekerja di Australia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan