"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin tuntut Anwar tarik balik kenyataan lupus hutang peneroka Felda

FMT Reporters

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin menuntut Perdana Menteri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan berhubung pelupusan hutang peneroka Felda, dan memohon maaf secara terbuka kerana ia disifatkan sebagai “fitnah”.

Selain menarik balik kenyataan, Muhyiddin menuntut Anwar memadam semua penyiaran kenyataan tersebut daripada akaun Facebook dan semua laman web dan platform di mana kenyataan itu disiarkan.

Jika tuntutan itu gagal dipenuhi dalam tempoh 24 jam, pihak peguam bekas perdana menteri itu berkata, mereka diarah memulakan tindakan undang-undang terhadap Anwar, menurut surat yang dilihat FMT.

“(Anwar) telah membuat kenyataan fitnah terhadap anak guam kami (Muhyiddin) dengan niat mencemar, menjatuhkan dan/atau merosakkan reputasinya,” menurut surat yang dihantar oleh Rosli Dahlan Saravana Partnership itu.

Dalam satu majlis awal bulan ini, Anwar mendakwa pentadbiran Muhyiddin mengumumkan akan melupuskan RM8.3 bilion hutang peneroka Felda, tetapi langkah itu tidak pernah dilaksanakan.

Anwar, yang juga menteri kewangan, menegaskan bahawa beliau sendiri menandatangani kelulusan pelupusan hutang itu, mendakwa tiada peruntukan untuknya dalam Bajet 2021 dan 2022.

Muhyiddin menerusi tuntutannya hari ini meminta Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, mengemukakan dokumen yang katanya ditandatanganinya untuk meluluskan pelupusan hutang itu.

Anwar juga dituntut membayar ganti rugi dalam jumlah yang dipersetujui Muhyiddin.

Terdahulu, Muhyiddin menegaskan pelupusan hutang peneroka Felda dilaksanakan pada 2021, dan perkara itu disahkan sendiri oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan Parlimen pada 23 Feb lepas.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan kekangan aliran tunai Felda, kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang itu secara berterusan.

Turut dilaporkan pada 24 Feb bekas pengerusi Felda Idris Jusoh berkata, sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion daripada keseluruhan RM12.1 bilion selesai pada 2021.

Tiada ulasan: