"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Melayu Selangor 47.6 peratus menyokong PH-BN dan 27.2 peratus

Raveena Nagotra

Tinjauan yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati gabungan parti pemerintah PH-BN mendapat sokongan Melayu di Selangor dan mengatasi PN.

Daripada 978 responden Melayu yang terlibat kaji selidik tersebut, IDE berkata, mendapati 47.6 peratus menyokong PH-BN dan 27.2 peratus menyokong PN manakala 14.5 peratus lagi tidak membuat keputusan.

Tinjauan yang dijalankan dari 12 hingga 15 Mei lalu dibuat secara rambang di semua 56 kawasan yang ada di Selangor.

Tinjauan itu melibatkan semua kaum dengan penyertaan seramai 1,692 responden secara keseluruhan.

Menurut IDE setiap responden ditemui secara bersemuka dan kunci jawapan mereka dibuat melalui aplikasi e-Survey.

Berdasarkan data PRU ke-15 pada Nov tahun lalu, IDE menjangkakan PN secara tekal menjadi pilihan utama orang Melayu yang berumur 18 hingga 60 tahun di Selangor.

Bagaimanapun, IDE mendapati populariti PN dalam kalangan orang Melayu dalam setiap kumpulan pengundi semasa PRU ke-15 adalah bawah 50 peratus.

Oleh itu, hasil tinjauan berkenaan menunjukkan PH-BN mampu mendahului PN di kawasan Melayu pada pilihan raya (PRN) negeri akan datang.

Respon bercampur-campur

Berdasarkan tinjauan itu juga, 58 peratus daripada 1,692 responden berpihak kepada PH-BN manakala 26 peratus berada di atas pagar dan 16 peratus memilih PN.

Bagi belia berusia 18 hingga 24 tahun - iaitu 267 orang - 50 peratus menyokong PH-BN, diikuti 33 peratus atas pagar dan 17 peratus menyokong PN.

Mohammad Redzuan Othman
Pengerusi IDE Mohammad Redzuan Othman bagaimanapun menegaskan ketika PH dilihat selesa dengan majoriti yang kuat, keputusan sebenar terletak pada pengundi atas pagar.

Mengulas lanjut, dia berkata sebahagian besar daripada 33 peratus pengundi atas pagar boleh beralih arah dengan memihak kepada pembangkang.

Bagaimanapun Redzuan berkata, kecenderungan sebenar pengundi hanya dapat dilihat dengan jelas pada minggu kedua kempen atau empat hingga lima hari sebelum pengundian.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dalam pilihan raya negeri akan datang ialah pada 19 Julai, manakala hari pengundian pada 12 Ogos.

Redzuan berkata pengundi Selangor menunjukkan respons bercampur-campur terhadap PN dengan 47.4 peratus mempunyai persepsi, 41.1 peratus memberi respons positif dan 11.5 peratus lagi tidak memberi sebarang komen.

Tiada ulasan: