"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: Saya bantah rancangan Dr M-Muhyiddin haramkan Umno

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang membantah rancangan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin untuk mengharamkan Umno selepas PRU14.

Mendedahkannya pada satu program di Kedah malam tadi, presiden PKR berkata beliau bersama Lim Guan Eng yang ketika itu setiausaha agung DAP dan Presiden Amanah Mohamad Sabu membantah kerana ia bukan penyelesaian kepada isu berbangkit pada waktu berkenaan.

“Saya cerita pengalaman bagaimana Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin pakat untuk haramkan Umno, saya ke rumah Muhyiddin, memang tegang. Saya lawan Umno masa itu, tetapi saya tak setuju haramkan Umno.

“Umno ada sejarah sendiri, sejarah perjuangan kebangsaan, ini parti ibu bapa saya. Saya beza pendapat, tapi haramkan itu bukan penyelesaian. Kita tak boleh padam sejarah, alasan apa nak haramkan?,” katanya pada Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah menurut Berita Harian.

“Kalau dalam politik kita lawan, dia (Muhyiddin) kata tak boleh, keputusan sudah dibuat (untuk haramkan Umno). Saya bercakap dengan Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng ketika itu, kami tak setuju dan tak bersama (dalam keputusan itu).”

Susulan daripada kegagalan mengharamkan Umno, Anwar berkata kini presidennya Zahid Hamidi menjadi mangsa dan serangan Perikatan Nasional (PN) yang mahu meraih sokongan ahli Umno pada PRN.

“Saya nak beritahu orang Umno yang goyang sekarang ini. Sanggupkah kamu beri dukungan kepada parti sebaik dia (Muhyiddin) berkuasa akan mengharamkan parti keramat kamu?,” katanya.

Pada Disember lalu, Zahid mendedahkan cubaan untuk mengharamkan Umno pernah ‘dipatahkan’ seseorang namun beliau tidak mendedahkan identitinya.

Tiada ulasan: