"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Alkisah nasib si suami berbini gengster

Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Suliati Asri dan Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my

KEBANYAKAN mangsa memilih untuk beralah dan rela disakiti.
Kuala Lumpur: Ada yang kata saya terkena 'nasi kangkang' bini. Ada juga yang tuduh saya jantan dayus...tapi saya diamkan kerana sayangkan dia," ujar Azlan, 28, yang menjadi mangsa kekerasan fizikal oleh isterinya.

Dia yang bekerja sebagai juruteknik kilang pembuatan alatan konduktor di ibu kota memaklumkan mula mendirikan rumah tangga pada tahun 2020 selepas setahun mengenali isterinya.

"Dia (isteri) ketika itu bekerja sebagai penunggang motosikal e-hailing. Perwatakannya memang agak kasar ala-ala pengkid dan 'boyish'.

"Kebetulan saya 'jatuh hati' padanya apabila kami sering terserempak ketika bermain futsal di Gelanggang UTC Sentul. Saya jenis lelaki yang tertarik ciri-ciri wanita yang nampak lasak, berambut pendek dan tidak control ayu," katanya.

Azlan berkata, selepas hampir setahun mencuba menawan hati isterinya, mereka akhirnya berjaya mengikat tali pertunangan.

"Ketika itu memang ada halangan dari ibu kerana berasakan Nani (bukan nama sebenar) tidak sesuai dengan perwatakan saya. Pelbagai amaran pedas turut diberikan kakak namun saya bulatkan tekad untuk berkahwin.

"Akhirnya kami melangsungkan perkahwinan sebelum memilih untuk tinggal berasingan dengan keluarga. Kami tinggal menyewa di sebuah PPR dan hidup serba sederhana," katanya.

Menurutnya, ketika awal melayari bahtera rumahtangga, dia meletakkan keyakinan Nani akan berubah sedikit demi sedikit dari segi penampilan dan cara percakapan demi cinta kepadanya.

"Tapi selepas lima bulan berkahwin, Nani masih dengan gaya lama...gemar melepak bersama rakan-rakan e-hailing selepas habis bekerja, tidak gemar 'masuk dapur' dan masih berseluar jean setiap hari di rumah.

"Ketika itu saya banyak mengalah dan mengambil alih tugas rumah seperti mengemas dan membasuh pakaian. Saya pernah cuba menasihatinya namun biasanya hanya 'bertahan seminggu' sebelum dia kembali ke perangai asal.

"Paling menakutkan saya apabila dia mula menunjukkan rupa sebenar apabila kuat memberontak dan mengamuk. Bukan hanya menjerit, malah berani membaling objek kepada saya jika egonya tercabar," katanya.

Menurutnya, kemuncak masalah berlaku pada Jun 2021 iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 dikuatkuasakan kerajaan.

"Ketika itu saya hilang pekerjaan dan kami berdepan isu kewangan. Akibatnya kami kerap bertengkar. Saya harapkan dia dapat memahami keadaan dan saling bertolak ansur dari segi kewangan, tetapi sebaliknya berlaku.

"Saya jadi pelik bila dia pula mudah 'naik tangan' jika permintaannya tidak dipenuhi. Pernah muka saya dicakar ketika kami bergaduh soal isu sewa rumah kerana dia masih memiliki pendapatan ketika itu.

"Pernah juga sekali, topi keledar Arai Ram 4 kesayangan saya berharga RM600 dibaling dari tingkat 12 PPR hingga rosak. Belum lagi tindakan gilanya menendang pecah pintu tandas," katanya.

Azlan berkata, dia tidak tergamak membalas atau mengasari isterinya kerana tidak pernah memukul wanita seumur hidup.

"Apatah lagi diasuh ibunya supaya bersikap lembut hati. Saya pernah cuba mendapatkan nasihat rakan-rakan namun ramai sebalik yang menuduh saya dayus dan 'lembu dicucuk hidung'.

"Malah, saya malu untuk berkongsi kemelut dihadapi dengan keluarga selepas memikirkan amaran diberikan ibu dan kakak sebelum ini. Keadaan tambah serabut apabila isteri kerap membentak dan meminta cerai sedangkan hutang pinjaman perkahwinan masih belum langsai," katanya.

Menurutnya, dia pernah merujuk krisis rumah tangga dialami melalui khidmat runding cara di pejabat agama namun tidak mendapat kerjasama isterinya yang semakin kerap tidak pulang ke rumah.

"Saya kini dalam dilema sama ada perlu memfailkan tuntutan nusyuz atau menunggu keajaiban isteri akan berubah," katanya.

Kes keganasan terhadap suami alami peningkatan

Kuala Lumpur: Bukan lagi dianggap kes janggal di negara ini apabila bilangan jenayah membabitkan suami 'tersakiti' secara fizikal semakin meningkat kebelakangan ini.

Meskipun isu keganasan rumah tangga membabitkan suami sebagai mangsa keganasan isteri adalah kes terpencil, namun jumlah kes direkodkan menunjukkan peningkatan ketara pada 2021 dan 2022.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, bagaimanapun, jumlah kes dera membabitkan golongan itu tidak menjadi trend yang perlu dibimbangkan.

"Berdasarkan statistik, sebanyak 58 kes direkodkan membabitkan suami sebagai mangsa kekerasan fizikal pada 2018.

"Jumlah itu menurun bagi tempoh dua tahun berturut-turut apabila merekodkan 48 kes pada 2019 dan 44 kes pada 2020.

"Bagaimanapun, jumlah itu meningkat kepada 122 kes pada 2021 dan terus melonjak kepada 140 kes pada 2022," katanya kepada Harian Metro.

Siti Kamsiah berkata, kebanyakan kes dera atau kekerasan fizikal membabitkan suami sebagai mangsa berpunca faktor perselisihan faham, cemburu dan faktor kewangan.

"Tindakan undang-undang sama boleh dikenakan terhadap golongan isteri yang menjadi pelaku atau pesalah dalam kes keganasan rumah tangga.

"Semua kes keganasan rumah tangga disiasat di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga dan Kanun Keseksaan tanpa sebarang pengecualian.

"Oleh itu, sekiranya suami menjadi mangsa dalam keganasan rumah tangga, prosedur siasatan dan tindakan sama akan dikenakan terhadap isteri menjadi pelaku atau pesalah," katanya.

Beliau berkata, ahli rumah tangga sama ada suami, isteri, ibu, bapa mahupun anak perlu bijak mengawal emosi dan tekanan.

"Pendekatam ini dapat mengurangkan keberangkalian berlaku kes keganasan rumah tangga dalam kehidupan seharian.

"Apa yang dapat dilakukan mangsa keganasan adalah mencari peluang untuk membuktikan bahawa segala kejadian adalah benar dan berani tampil membuat laporan polis termasuk golongan suami.

"Lebih banyak pendedahan berhubung keganasan rumahtangga perlu diketengahkan dalam masyarakat supaya mereka mempunyai kesedaran.

Ini sekali gus memastikan isu keganasan rumah tangga tidak terus menjadi isu membimbangkan," katanya.

           Ramai 'suami tersakiti' kunci mulut

Kuala Lumpur: Kelebihan fizikal, cemburu, panas baran, status kerja atau pendapatan, latar belakang isteri yang memang kasar, sikap isteri yang dominan dan suka mengawal suami antara faktor wujudnya isu 'isteriku gengster'.

Bukan itu saja faktor hasutan orang ketiga, isteri yang mempunyai masalah kesihatan mental (depression), kerasukan ataupun isteri ganas disebabkan respon dan reaksi kepada layanan kasar suami itu sendiri juga menjadi punca seorang isteri yang fitrahnya lembut sanggup mengasari serta mencederakan suami.

Peguam Syarie Muim Abdullah berkata, kes membabitkan golongan isteri memukul atau mendera fizikal suami bukanlah mustahil terjadi.

"Ia wujud dalam masyarakat kita namun kebanyakan kes-kes yang berlaku tidak diadukan kepada pihak berkuasa.

"Tidak semua kes diadukan (kepada pihak berkuasa) kerana ada yang tak tahu perbuatan mencederakan suami adalah satu kesalahan jenayah di bawah kanun keseksaan selain perbuatan berdosa.

"Selain itu, ada (suami) yang tidak membuat aduan atau ambil tindakan kerana tersepit dengan keadaan untuk menjaga hubungan keluarga, air muka atau ego sebagai suami dan pelbagai alasan lain," katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro.

Muim Abdullah berkata, dari pandangan hukum syara' dan undang-undang, apa sahaja bentuk perbuatan yang boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain adalah jelas satu kesalahan.

Katanya, pelaku boleh diadukan kepada pihak berkuasa dan didakwa di Mahkamah mengikut kanun keseksaan. (Seksyen 323, 326A atau apa-apa peruntukan yang berkaitan).

"Dari segi syara' pula, perbuatan itu jelas berdosa untuk isteri mencederakan suami dan boleh disabitkan nusyuz oleh Mahkamah Syariah.

"Jika disabitkan kesalahan, isteri tidak berhak untuk diberikan nafkah selama tempoh isteri disabitkan nusyuz oleh mahkamah. Isteri yang berkasar dan mencederakan suami juga adalah isteri yang derhaka," katanya.

Muim berkata, suami yang berhadapan dengan masalah ini perlu berusaha mengatasi masalah dengan mengenalpasti punca sebenar masalah yang memicu isteri bertindak ganas.

"Perbuatan ganas ini selain membabitkan emosi marah, ia juga berkaitan dengan masalah kesihatan mental. Oleh itu, suami perlu mengenalpasti perbuatan ganas isteri itu perlu dilakukan dalam keadaan sedar dan waras.

"Suami juga perlu ada usaha untuk perhatikan, memahami dan menilai sikap isteri dan bertindak sewajarnya," katanya.

Selain itu, mereka perlu merujuk masalah rumahtangga kepada pakar seperti kaunselor, pegawai psikologi atau pakar-pakar psikiatri bagi mencari penyelesaian.

Mengulas lanjut, Muim berkata, suami juga perlu faham dan mengawal isteri sebaiknya supaya tidak timbul masalah atau punca yang menyebabkan pergaduhan dan keganasan.

"Jika keganasan atau ancaman isteri tidak mampu dikawal, suami boleh mengadu kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan selanjutnya.

"Suami juga boleh mendapatkan Interim Protection Order dari Mahkamah sebagai jaminan keselamatan, jika perlu," katanya.

Muim berkata, keluarga, rakan dan masyarakat, perlu prihatin dengan masalah berkaitan dan tidak meletakkan persepsi negatif terhadap apa sahaja bentuk keganasan dalam rumahtangga.

"Bagi dorongan, panduan dan idea kepada suami yang ada masalah supaya mereka berani untuk bertindak menyelesaikan konflik.

"Ini kerana tidak semua orang ada tolerance (tolak ansur) yang tinggi dalam menghadapi masalah dan berani bertindak menyelesaikan masalah. Dorongan dan sokongan orang sekeliling adalah sangat membantu," katanya.

"Stigma 'takut bini' tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu sindiran semata-mata. Hakikatnya, memang ada suami yang 'terpaksa' takut bini disebabkan ancaman dan keganasan dihadapi," katanya.

Namun, kata Muim, ramai suami yang 'tersepit' untuk menyelesaikan masalah atau bertahan sahaja dengan masalah dan mengharapkan perubahan.

"Oleh itu, suami mesti tegas dan ambil tindakan jika wujud keganasan dalam rumahtangga. Begitu juga sebaliknya dengan isteri," katanya.

Tiada ulasan: