FMT Reporters
Motosikal mangsa tergelincir ke dalam tali air akibat hilang kawalan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang lelaki lemas selepas motosikal ditunggangnya tergelincir ke tali air di kawasan terusan tengah Mada, Titi Dua Lapis, Kedah.
Ketua Polis Pendang, Arriz Sham Hamezah, berkata pusat kawalan daerah IPD Pendang menerima panggilan pada 7.50 malam semalam.
Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku pada 7.20 malam, ketika mangsa menunggang motosikal bersendirian dari Bukit Raya untuk pulang ke rumahnya di Kampung Tanjung Radin.
“Ketika melalui lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu tergelincir ke dalam tali air bersama motosikalnya.
“Mangsa terkapai-kapai meminta pertolongan dan cuba dibantu orang awam di sekitar tempat kejadian, tetapi arus deras menyebabkan mangsa gagal diselamatkan dan tenggelam,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, anggota IPD Pendang digerakkan ke tempat kejadian dan mayat dinaikkan ke darat dengan bantuan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.”
Ketua BBP Pendang, Muhammad Ezzat Emran Ezani, berkata sepasukan anggota dari BBP Pendang tiba di lokasi selepas menerima panggilan pada 7.32 malam.
Katanya, mangsa berusia 20 tahun ditemui pada 8.26 malam dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan