"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saifuddin: Pendedahan isu REE bukan plot burukkan imej Sanusi

Bernama

PENDANG: Pendedahan kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik bukan dibuat untuk memburukkan imej Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, sebaliknya bagi menunjukkan disyaki wujud isu kepincangan pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendedahannya mengenai isu kecurian REE itu hanyalah permulaan kepada siri pendedahan lain berkaitan isu berkenaan.

“Tak ada plot (memburukkan imej Sanusi) dalam isu ini kerana hakikatnya isu kecurian REE ini menunjukkan beberapa isu berbangkit, termasuk dalam kes membawa masuk pekerja asing dari China, selain tangkapan dan kompaun yang dikeluarkan.

“Saya percaya siasatan akan diteruskan melibatkan beberapa agensi. Ini kerana tangkapan pertama dilakukan pada Januari lepas yang kemudian membawa kepada kertas siasatan dibuka Jabatan Perhutanan serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG),” katanya.

Beliau yang juga pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata demikian kepada pemberita selepas sesi taklimat projek menaik taraf Loji Rawatan Air Jenun Baru.

Saifuddin mengulas laporan media semalam bahawa Sanusi mendakwa terdapat rancangan untuk memburukkan imejnya dan cubaan mengaitkannya dengan penyelewengan dalam isu perlombongan REE di Kedah.

Media juga melaporkan Saifuddin semasa berucap pada Jelajah Madani DUN Suka Menanti di Alor Setar malam tadi mendakwa Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah mengetahui wujudnya isu kecurian REE di kawasan Bukit Enggang itu.

Tiada ulasan: