"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tokoh Maal Hijrah saksikan ‘rasul’ akhir zaman pijak al-Quran

ASLIZA MUSA
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Jurij Sulaiman pada Sambutan Maal Hijrah 1445H peringkat negeri Perak di Ipoh hari ini. -UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
IPOH: Pengalaman berhadapan dengan ‘rasul’ akhir zaman yang tergamak memijak al-Quran lebih 50 tahun lalu antara memori yang kekal dalam ingatan Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak, Jurij Sulaiman.

Jurij, 87, yang merupakan bekas Ketua Pendakwa Syariah Negeri Perak berkata, tindakan lelaki yang digelar Tok Ayah itu disaksikannya sendiri ketika satu majlis di sebuah kampung di Tapah.

“Dia mengaku dia rasul akhir zaman dan untuk buktikannya, dia ambil al-Quran dan berdiri (pijak) atasnya.

“Menurut lelaki itu, al-Quran itu adalah yang tertulis, yang tersirat ada di dalam dadanya. Itu caranya menunjukkan dalil yang dia rasul akhir zaman.

“Peristiwa ini memang saya sendiri saksikan bukannya dengar cerita orang. Waktu itu, saya bertugas sebagai pendakwa Mahkamah Syariah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1445 Hijrah di sini hari ini.

Anak kelahiran Teluk Bakong, Parit yang juga Pengasas Yayasan Pembangunan Masjid-Masjid Wilayah Bagan Serai itu menerima wang tunai RM15,000, pakej umrah, piala iringan dan sijil yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut bapa kepada lima anak itu, lelaki dikenali Tok Ayah dan memiliki ramai pengikut itu bagaimanapun kembali bertaubat selepas menyedari kesilapannya.

“Selepas siasatan dijalankan, dia akhirnya mengaku salah dan bertaubat. Kita ambil masa dalam dua minggu juga untuk bawa dia kembali kepada Islam,” katanya yang juga pernah terlibat dalam memerangi ajaran sesat dan amalan khurafat ‘serban hijau’ sekitar tahun 70-an.

Sementara itu, mengulas anugerah yang diterimanya, Jurij meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana terpilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi tahun ini.

“Pada 2010, saya terima Anugerah Tokoh Keluarga Mithali daripada Almarhum Sultan Azlan Shah dan tahun ini pula daripada anakanda baginda, Sultan Nazrin.

“Terima kasih banyak-banyak kepada mereka yang calonkan saya terutama pihak Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk),” katanya.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Ar Ridzuan kepada Pengerusi Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) Taman Tasek Jaya, Datuk Dr Fadzly Cheah Abdullah.

Selain itu, beberapa anugerah lain turut disampaikan iaitu Anugerah Saidina Ali (Mohamad Saifuddin Abdul Latif), Anugerah Siti Khadijah (Umi Khalthum Ngah), Ikon Asnaf (Hasarinawati Abdul Wahab), Al-Quba Pengurusan Masjid Terbaik (Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang 2020) dan Al-Baqi Pengurusan Tanah Perkuburan Terbaik (Tanah Perkuburan dan Waqaf Am Islam Kariah Rapat Setia, Ipoh). – UTUSAN

Tiada ulasan: