"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr. Mahathir perlu buktikan pelancong China tidak pulang ke tanah asal

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat membuktikan dengan tepat berhubung dakwaan kononnya terdapat jutaan pelancong China yang tidak pulang ke tanah asal.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu itu bukan perkara baharu, sebaliknya ia rancak dibongkarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum pilihan raya 2018 yang lalu.

Beliau berkata, jika betul dakwaan itu, individu paling tepat untuk mengesahkannya adalah Dr. Mahathir sebagai individu yang membangkitkan isu itu dan bukannya tugas kerajaan untuk membuktikan perkara itu.

“Ketika itu, Tun (Dr. Mahathir) pernah dedah angka dan semuanya, namun beliau tidak selesaikan dakwaan itu dengan bukti dan maklumat.

“Kalau dia (Dr. Mahathir) boleh bantu bekalkan maklumat, itu lebih baik. Namun, hakikatnya tiada. Dia buat pendedahan tapi tidak selesaikannya.

“Saya anggap dakwaan itu kekal di situ. Orang paling tepat untuk ditanya adalah Dr. Mahahthir. Boleh Tun beritahu di mana dan berapa ramai, itu lebih bertanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tahun lalu, KDN pernah melaporkan lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

KDN memaklumkan, rekod keluar masuk Jabatan Imigresen menunjukkan ketibaan warga China ke Malaysia bagi tempoh berkenaan adalah seramai 7,177,043 orang.

Namun, jumlah warga China yang keluar dari negara ini bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu, iaitu kurang 1,222,278 berbanding jumlah yang masuk ke negara ini. – UTUSAN

Tiada ulasan: