"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sanusi didakwa esok, KPN kata ‘tak dapat maklumat’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara Razarudin Husain memberitahu beliau “tidak mendapat maklumat” berhubung pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor di mahkamah, esok.

“Saya belum dapat tahu lagi. Yang itu (pendakwaan) belum tahu lagi,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Interaksi bersama Speaker Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media pemimpin PAS itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang.

Razarudin petang tadi dilaporkan berkata, siasatan isu kes 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) membabitkan Sanusi sudah hampir selesai, manakala kertas siasatan itu sudah disiapkan lebih 90%.

Menerusi semakan sistem mahkamah, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu akan didakwa di dua mahkamah iaitu di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin dan Osman Affendi Mohd Shalleh pada 9 pagi, memetik Bernama.

Ketika ditanya berhubung perkara itu, Razarudin pula berkata: “Saya belum semak lagi (menerusi carian laman sistem kehakiman).”

Dalam ucapan Sanusi yang tular, pemimpin PAS itu dipaparkan seolah-olah menyentuh perkenan Sultan Selangor, berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Bagaimanapun, pada 15 Julai lalu beliau memohon ampun kepada Sultan Selangor dan menjelaskan maksud sebenar ucapannya yang didakwa diputar belit.

Hari ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah apa diperkatakan pengarah pilihan raya Perikatan Nasional itu “masih belum selesai”, biarpun permohonan ampun dikemukakan.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata tindakan undang-undang terhadap Sanusi tidak akan selesai menerusi permohonan ampun kepada Sultan Selangor.

Katanya, permohonan maaf bukan pembelaan dari segi undang-undang dalam perundangan jenayah.

Tiada ulasan: