"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH, BN tak umum calon MB N9 elak reaksi akar umbi

Natasha Busst

PETALING JAYA: Dua penganalisis percaya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mendiamkan diri berhubung calon menteri besar Negeri Sembilan bagi mengelak tindak balas daripada akar umbi.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, dua gabungan itu mengelak daripada menamakan mana-mana calon sebagai “poster boy” bagi PRN 12 Ogos supaya tiada pergeseran yang boleh menjejaskan prestasi mereka dalam pilihan raya.

“Saya percaya PH-BN tidak mahu mengumumkan calon menteri besar Negeri Sembilan bagi mengelak rasa tidak puas hati dan sebarang sentimen negatif (daripada akar umbi),” katanya kepada FMT.

Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula berkata, akar umbi dua gabungan itu mungkin memberontak jika orang salah dinamakan bagi jawatan tertinggi Negeri Sembilan.

Katanya, ini salah satu sebab BN dan PH mungkin tidak mencapai kata sepakat siapa yang hendak dinamakan sebagai calon menteri besar mereka.

“Poster boy boleh meningkatkan usaha PH-BN dalam menggerakkan pengundi, tetapi jika orang itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi, ia pasti makan diri.”

PH mengumumkan Amirudin Shari dan Chow Kon Yeow akan terus menjadi menteri besar Selangor serta ketua menteri Pulau Pinang, jika mereka mampu mempertahankan kemenangan di negeri masing-masing.

Bagaimanapun, PH dan BN hanya akan menamakan calon menteri besar Negeri Sembilan jika mereka memenangi negeri itu pada PRN 12 Ogos.

Aminuddin Harun merupakan naib presiden PKR dan menteri besar Negeri Sembilan. Beliau adalah menteri besar pertama bukan daripada Umno, selepas PH merampas Negeri Sembilan daripada BN buat julung kali pada PRU 2018.

Awang Azman berkata, tidak mengumumkan Aminuddin sebagai calon bermakna ada kemungkinan besar orang lain akan dinamakan jawatan itu jika PH-BN menewaskan Perikatan Nasional pada PRN.

“Apabila menteri besar semasa tidak diumumkan sebagai calon untuk pilihan raya, ada kemungkinan besar (menteri besar) ditukar.

“Sebab lain mungkin kerana permintaan untuk jawatan itu begitu tinggi sehingga calon lain sedang dipertimbangkan.”

Tunku Mohar berkata, PH dan BN perlu mengetepikan perbezaan mereka, bersatu dan membuat “dasar bermakna” sebagai tulang belakang kempen mereka di Negeri Sembilan.

Katanya, ini akan menjadi kunci meraih sokongan di seluruh negeri.

Tiada ulasan: