"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Madrasah tahfiz antara lokasi simpan ketum, 4 lelaki ditahan

Bernama

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan empat lelaki dan merampas pil yaba serta ketum di dua lokasi semalam, termasuk di sebuah madrasah tahfiz di Batu 11, Ketereh dekat sini yang disyaki menjadi tempat simpanan 100kg ketum.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan pada 9.15 malam itu, 10 bungkus plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum ditemukan di madrasah tahfiz tersebut, iaitu lokasi kedua serbuan, pada hari sama.

“Serbuan ke madrasah tahfiz dipandu arah oleh empat suspek terbabit berusia 20-an, yang ditahan pada serbuan pertama di sebuah rumah di Jalan Tali Air Kampung But, Ketereh, pada kira-kira 9 malam,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Muhamad Zaki berkata, dalam serbuan pertama, polis merampas 20 bungkusan plastik berisi kira-kira 20 liter cecair ketum dan empat bungkusan plastik berisi daun hijau disyaki ketum dianggarkan seberat 40kg.

“Pemeriksaan lanjut di sekitarnya turut menemukan satu kotak rokok disyaki berisi pil kuda, selain satu periuk besar berisi air rebusan ketum dianggarkan sebanyak 10 liter, dua tong gas dan sebuah dapur gas, yang turut dirampas.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4,522 dan perintah tahanan reman selama empat hari ke atas kesemua suspek berakhir 22 Julai.

Kes disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Tiada ulasan: