"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes wanita ada 2 suami rupanya berlaku di Malaysia, “suami pertama kahwin di Siam, yang kedua di Malaysia…”

KIM SYAZIE

Tidak dapat dibayangkan bagaimana seorang wanita sanggup bersuamikan dua lelaki kerana mahu terus bersama atas dasar sayang biarpun perbuatan tersebut salah di sisi Islam.

Kisah yang dikongsikan seorang peguam tentang isteri yang bersuami dua ini bukanlah kes yang berlaku di negara seberang. Sebaliknya berlaku di Malaysia sendiri.

Kisah ini didedahkan sendiri seorang peguam, Shazril Khairy Mustafa yang memaklumkan kisah benar itu berlaku 10 tahun lalu melibatkan kliennya, seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan awal 20-an di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Menerusi kisah dikongsi di TikTok, peguam syarie itu berkata, wanita tersebut berkahwin dengan suami pertama melalui akad nikah di Thailand tanpa pengetahuan pihak keluarga.

Manakala suami kedua pula dinikahi dengan restu kedua-dua belah keluarga. Liciknya, si isteri bijak mengatur strategi giliran bermalam agar kegiatannya tidak diketahui sesiapa.

Shazril Khairy berkata, berdasarkan pengakuan yang dibuat, wanita tersebut akan bersama suami pertama pada siang hari dengan memberikan alasan pergi bekerja manakala pada sebelah petang akan pulang ke rumah ibu bapanya untuk bersama sama suami kedua.

“Apabila tahu perbuatan itu, saya nasihatkan bahawa perbuatan ini haram dan tidak boleh diteruskan. Akhirnya wanita ini akur dan memilih untuk berkahwin dengan suami kedua pilihan keluarganya.

“Memandangkan perkahwinan pertama itu sah, jadi pasangan terbabit perlu menjalani proses penceraian di mahkamah dan kemudian perlu akad nikah semula dengan suami kedua selepas tamat idah bercerai dengan suami pertama. Bagaimanapun ketika kejadian berlaku, wanita berkenaan tidak mengandung,” katanya memetik Sinar Harian.

Jelasnya, kes-kes seumpama itu banyak terjadi terutama melibatkan perkahwinan rakyat tempatan dengan wanita warga asing yang merahsiakan perkahwinan mereka dan mengatakan sudah bercerai.

Menurutnya, pendedahan yang dibuat itu bertujuan memberi pengajaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dan menyedari perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan besar di dalam Islam.

Tiada ulasan: