"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Samun bersenjata kapak, 3 beradik ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga beradik ditahan selepas disyaki terbabit kes samun berkumpulan menggunakan kapak dan pisau di sekitar Kota Bharu, Kelantan.

Dua daripada suspek berusia 19 hingga 36 tahun itu ditahan di tepi Jalan Kampung Sri Kulim, Melor dan seorang lagi di depan sebuah kedai telefon bimbit di Melor, kira-kira 8.15 malam kelmarin.

Ketua Polis Kota Bharu, Mohd Rosdi Daud, berkata ketiga-tiga suspek disyaki terbabit tiga kejadian samun bersenjatakan kapak dan pisau di premis perniagaan telefon bimbit di daerah itu yang dilaporkan sejak 15 Julai lalu.

“Semua kejadian ini menggunakan modus operandi sama, iaitu suspek masuk ke kedai dengan bersenjatakan kapak dan pisau, lalu mengacukan ke arah pekerja sebelum mengambil wang tunai serta telefon bimbit.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, operasi mengesan dan menangkap suspek dijalankan sebelum polis berjaya menahan tiga beradik itu,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, semakan mendapati dua daripadanya mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Hasil ujian saringan awal mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah.”

Dengan tertangkapnya tiga beradik itu, katanya, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun berkumpulan di sekitar daerah ini.

“Mereka direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.”

Tiada ulasan: