"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Letak lebih ramai calon muda untuk pikat belia Kedah, BN-PH diberitahu

Dineskumar Ragu

ALOR SETAR: Gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional di Kedah perlu meletak calon lebih muda pada PRN akan datang bagi menarik undi belia, kata seorang penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia mendapati, tidak seperti Perikatan Nasional, gabungan perpaduan itu di Kedah tidak mempunyai pemimpin yang popular dalam kalangan belia.

Sebaliknya, PAS mempunyai ramai pemimpin muda yang sangat rapat dengan pengundi Kedah.

“Umno perlu menampilkan muka baharu dalam PRN akan datang, begitu juga PH. Mempunyai sekurang-kurangnya 50% calon muda akan menunjukkan mereka komited membiarkan Kedah dipimpin (orang) muda yang mempunyai idea baharu untuk Kedah baharu.

“Pemimpin dari BN dan PH perlu lebih dekat dengan rakyat. Masih ada masa jika mereka serius dalam menarik sokongan belia di Kedah,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas seruan Ketua BN Kedah, Mahdzir Khalid supaya anak muda Kedah menjajarkan negeri itu dengan kepimpinan persekutuan dengan mengundi PH-BN pada PRN 12 Ogos ini. Beliau turut menolak cakap-cakap anak muda Kedah memihak kepada PN seperti pada PRU November lalu.

Azizuddin Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata, perbalahan dalaman Umno dan kegagalan PH menembusi kawasan luar bandar Kedah mungkin menjejaskan peluang gabungan itu dalam PRN.

“Bukannya Umno tidak memberi peluang kepada golongan muda (bertanding), cuma perbalahan dalaman parti sebelum ini menyebabkan ia berpecah belah dan lemah. Namun, perbalahan itu nampaknya sudah berakhir dan Umno lebih bersatu dalam menghadapi pilihan raya.

“PH walaupun memberi peluang kepada pemimpin muda – yang terbukti dengan Ahli Parlimen Sungai Petani, Taufiq Johari, doktor berusia 20-an – terlalu memfokuskan kawasan bandar dan pinggir bandar.

“PH belum memperluaskan pengaruhnya ke kawasan luar bandar,” katanya kepada FMT sambil menambah gabungan itu perlu meningkatkan usahanya mendekati belia di luar bandar Kedah.

Usaha Anwar dekati belia buahkan hasil

Walaupun PN menang 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah pada PRU15, Azizuddin dan Mazlan berpendapat, gabungan perpaduan itu mampu memenangi hati belia di negeri itu susulan libat urus Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan pelajar universiti awam dalam acara “townhall” di Kedah.

“Saya lihat belia bersikap terbuka terhadap perdana menteri, yang menunjukkan minda mereka tidak tertutup walaupun mereka sokong parti tertentu. Mereka masih boleh membuat perubahan,” kata Mazlan.

“Dalam sains politik, kami melihat belia sebagai pengundi peserta, di mana pandangan politik mereka dipengaruhi isu semasa. Mereka tidak fanatik terhadap parti politik tertentu berbanding pengundi subjek yang tidak akan mengubah status quo. Mereka terdiri daripada orang lama.

“Jumlah pengundi peserta lebih ramai daripada pengundi subjek. Jika perdana menteri – dengan caranya mendekati belia – mampu mendapat kepercayaan mereka, (BN-PH) akan meraih 30% undi yang cukup untuk merapatkan jurang prestasi (pilihan raya), walaupun jika mereka (gabungan perpaduan) mungkin tidak dapat menang di Kedah.”

Sementara itu, Azizuddin berkata, usaha Anwar mendekati pelajar universiti bagi menjelaskan isu mendesak dihadapi mereka, khasnya kos pendidikan, peluang pekerjaan dan pelaburan asing.

Memetik tinjauannya dalam kalangan pengundi Kedah, katanya, tumpuan Anwar terhadap pembasmian kemiskinan, pendidikan dan memerangi rasuah mula mengubah pandangan penduduk Kedah.

Mazlan bagaimanapun berkata, gabungan perpaduan Kedah perlu bekerja keras untuk membentuk kerajaan negeri berbilang kaum bagi menarik minat belia Kedah dan membawa kestabilan politik ke negeri itu.

“Kedah memerlukan pelaburan. Apabila politik Kedah stabil, pelabur akan ke Kedah dan dengan bantuan kerajaan persekutuan, Kedah boleh jadi (makmur) seperti Pulau Pinang dan Selangor (serta) menyumbang dengan banyak kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

“Saya yakin jika anak muda sokong (PH-BN), hasrat Mahdzir akan tercapai dan Kedah boleh jadi negeri maju kerana ia akan ditadbir parti politik yang menawarkan kestabilan politik di Kedah dan persekutuan.”

Tiada ulasan: