"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak Najib: 'Penyokong Bossku' ambil kesempatan untuk kepentingan diri

Isabelle Leong & Raveena Nagotra

Anak lelaki Najib Razak, Mohd Nazifuddin membidas penyokong bekas perdana menteri itu kerana mengeksploitasi pilihan raya negeri yang semakin hampir demi kepentingan mereka sendiri.

Ini selepas kumpulan "Penyokong Bossku", merujuk kepada gelaran terhadap Najib secara terbuka mengisytiharkan sokongan kepada PN menjelang enam pilihan raya negeri.
Kumpulan itu (gambar) juga berkata mereka telah hilang kepercayaan terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Nazifuddin, yang juga ketua Umno Bahagian Langkawi, menegaskan pilihan raya akan datang dan usaha menegakkan keadilan untuk Najib adalah dua isu yang berbeza.

“Sekarang ini, disebabkan jadual dan acara-acara berkaitan pilihan raya negeri, saya rasa orang mengambil kesempatan daripadanya untuk keuntungan mereka sendiri.

“Sebagai sebuah keluarga, bagi kami, kami konsisten dengan apa yang kami percaya untuk bapa saya, iaitu untuk mendapatkan keadilan terhadapnya dan dia masih (mempunyai) lapan kes yang sedang berjalan.

“Kami percaya beliau akan menang dan akan ada jalan untuk beliau memohon perbicaraan semula atau pengampunan untuk membebaskannya,” katanya kepada Malaysiakini selepas menghadiri majlis pengenalan calon Perpaduan Kedah dan pelancaran manifesto di Sungai Petani, Kedah malam tadi.

Najib telah menjalani hukuman penjara 12 tahun sejak Ogos lalu atas kesalahan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan SRC International Sdn Bhd milik kerajaan.

Keluarga Najib tetap sokong k’jaan perpaduan

Dengan semua jalan perundangan telah diteroka, satu-satunya harapan Najib untuk bebas adalah melalui pengampunan diraja.

Sambil melahirkan rasa terima kasih kepada penyokong bapanya atas kasih sayang dan sokongan mereka, Nazifuddin menegaskan bahawa pihak di luar keluarga mereka tidak benar-benar mewakili apa yang ada dalam fikiran Najib.

“Terdapat ramai penyokong yang mendakwa mereka mewakili bapa saya.

“Tetapi sebagai sebuah keluarga, kami membantu calon kerajaan sedia ada dan kami mahu melihat kerajaan (persekutuan) yang stabil untuk meneruskan pentadbiran negeri baru yang akan ditubuhkan di bawah kerajaan campuran.

"Kami adalah sebahagian daripada kerajaan ini, kebanyakan keluarga saya bersama Umno dan kami mahu melihat kerajaan ini terus mewujudkan sebuah negara yang stabil dan bergerak ke hadapan untuk memulihkan ekonomi yang positif," katanya.

Sebelum ini, Nazifuddin dan adiknya Nooryana Najwa telah menyuarakan kebimbangan bahawa penyokong Najib mungkin tidak keluar mengundi, mendakwa mereka semakin tidak sabar dan mahu usaha lebih konkrit oleh kerajaan ke arah menegakkan keadilan untuk Najib.

Pasangan adik-beradik itu mengakui bahawa "bukan tugas mudah untuk memujuk" penyokong bapanya itu, yang merupakan majoriti ahli parti komponen BN.

Semalam, "Penyokong Bossku", yang diketuai oleh Syed Muhammad Imran S N Syed Abdul Aziz, berkata mereka kesal dengan sikap Zahid yang 'membisu' dan tidak ada keinginan untuk mencari keadilan buat Najib.

Syed Muhammad Imran juga menuduh Zahid secara berterusan menggunakan mereka untuk meraih sokongan atas nama Najib.

"Sebagai ahli Umno kami telah hilang kepercayaan terhadap presiden kerana beliau menjadikan Umno seolah-olah milik individu dan sesiapa sahaja yang menyuarakan pendapat bertentangan akan dipecat atau digantung," katanya.
Syed Muhammad Imran (gambar, atas) juga menggesa ahli dan penyokong Najib atau dikenali sebagai Bossku menzahirkan sokongan kepada PN pada pilihan raya akan datang ini.

"Mari kita jadikan PRN ini sebagai referendum dan pungutan suara tidak percaya kepada Ahmad Zahid," katanya.

Dia juga berharap pemimpin PN akan menyambut baik sokongan yang diberikan mereka.

Tiada ulasan: