"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Lelaki parah dikelar penagih dadah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki parah dan terpaksa ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, selepas dipercayai dikelar penagih dadah Rabu lalu.

Ketua Polis Pasir Mas, Kama Azural Mohamed, berkata mangsa berusia 32 tahun mengalami pendarahan di bahagian leher yang turut terkena saluran pernafasannya.

Katanya, ibu mangsa berusia 50 tahun memaklumkan anaknya menunggang motosikal ke tempat kerja dalam keadaan berlumuran darah kira-kira 6.27 petang kelmarin.

“Wanita itu yang bekerja sebagai pembantu kedai terkejut melihat anaknya berlumuran darah dan terdapat kesan kelar di bahagian leher,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, wanita itu segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Susulan itu, katanya, suspek dikenal pasti dan ditahan kira-kira 9 malam hari sama di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang.

Menurutnya, lelaki itu direman tujuh hari mulai semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan jenayah,” katanya sambil menambah ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

Tiada ulasan: