"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Abduh bakal jadi calon PAS di Chempaka?

N Faizal Ghazali

Selepas dua penggal menjadi ahli parlimen dan tidak dicalonkan pada PRU ke-15 lalu, nama Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz dikatakan bakal dicalonkan semula oleh PAS.

Kali ini nama bekas ketua Pemuda PAS Pusat itu dijangka akan menjadi peraturan Kelantan di salah satu kawasan yang paling selamat di negeri berkenaan.

Beberapa sumber memaklumkan keputusan terakhir dibuat dalam mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan pada malam tadi.

Katanya mereka bersetuju agar anak kepada bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dikemukakan sebagai calon bagi menggantikan posisi Fathan Mahmood di DUN Chempaka.


"Setakat malam tadi saya dengar namanya 'lekat' di DUN Chempaka, tapi tak pasti juga adakah akan kekal sehingga hari pencalonan," katanya sumber itu kepada Malaysiakini.

Dia yang rapat dengan PAS Kelantan itu mendakwa, sebelum ini PAS menawarkan dua kerusi DUN kepada Nik Abduh, iaitu Kota Lama ataupun Kijang.

Bagaimanapun katanya Nik Abduh hanya berminat - jika PAS mencalonkannya - untuk bertanding di Chempaka.

"Dia (Nik Abduh) tegaskan cuma mahu bertanding di Chempaka dan jika di kerusi lain, dia tak keberatan untuk diketepikan," katanya.

Tak dicalonkan lagi

Nik Abduh merupakan salah seorang tokoh yang dianggap pelapis dalam PAS. Selain menjadi ketua Pemuda PAS, dia pernah mendapat undi tertinggi semasa pemilihan anggota Jawatankuasa PAS Pusat.

Sebelum ini menjadi ahli parlimen Pasir Mas pada PRU ke-13, dan berpindah ke kerusi Bachok lima tahun kemudian.

Dia pernah mencuri tumpuan ramai ekoran tularnya rakaman audia mengenai pembabitannya dalam perbincangan tertutup mengenai kerjasama di sebalik tabir di antara PAS dan Umno, serta persaingan dua kem berbeza dalam parti berkenaan.

Ketika PAS berada di persimpangan - kerana terpaksa memilih untuk bersama dengan Umno atau Bersatu - Nik Abduh dilihat lebih cenderung memihat ke Menara Dato Onn di Kuala Lumpur.

Namanya kemudian tercicir daripada calon ahli parlimen PAS-PN semasa PRU ke-15 berlangsung.

Pun begitu Nik Abduh menegaskan dia akan tetap istiqamah dan membantu PAS walaupun tidak dicalonkan oleh partinya.

Sementara itu, seorang sumber lain yang dilihat rapat dengan Nik Abduh turut memaklumkan perkara sama, bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut.

"Chempaka," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp ketika ditanya mengenai perkara itu.

Bagaimanapun sumber yang lain memaklumkan status pencalonan Nik Abduh di kerusi Chempaka belum disepakati pimpinan PAS secara tuntas.

Pengumuman malam esok

Menurutnya ia berlaku kerana wujud bantahan keras daripada pihak yang tidak bersetuju termasuk di peringkat kawasan berkenaan.

"Memang nama Nik Abduh sudah diangkat sebagai calon Chempaka, tetapi tak selesai lagi sebab ada bantahan keras. Ia membabitkan bantahan PAS kawasan.

"Kita cuma boleh tunggu jawapan pada malam pengumuman calon esok," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod kerusi DUN Chempaka terletak di bawah kawasan parlimen Pengkalan Chepa - salah sebuah kerusi parlimen yang paling selamat buat PAS Kelantan.

Dua lagi kerusi DUN di situ ialah Kijang dan Panchor. Pada PRU ke-14 lalu kerusi DUN Kijang dimenangi Izani Husin, manakala Panchor kekal diwakili Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah.

Chempaka pula diwakili Ahmad Fathan Mahmod.

Mohd Amar mewakili Panchor sejak PRU ke-11 (2004).

Sebelum ini Chempaka merupakan kerusi yang diwakili Nik Abdul Aziz sehinggalah dia meninggal dunia pada 12 Feb 2015.

PAS dijadualkan membuat pengumuman calon mereka bagi 45 kerusi DUN Kelantan pada malam esok di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Tiada ulasan: