"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS Patut Bagi Tun M Tanding Di Kuala Terengganu

Shahbudin Husin

Meski Tun Mahathir Mohamad berharap agar PN memenangi keenam-enam negeri dalam PRN 12 Ogos ini, hubungan beliau sebenarnya masih dikira kekal pada tahap suam-suam kuku saja dengan gabungan blok pembangkang itu.

Yang beria-ia ingin berbaik dan tetap memuja bekas Perdana Menteri dua kali itu hanyalah Pas saja.

Selain membawa Tun Mahathir ke Kelantan minggu lalu dan Shah Alam semalam, didahulu sebelum itu Hadi Awang sendiri mengadakan perjumpaan dengan bekas Perdana Menteri tersebut, difahamkan beberapa program lagi sedang diatur untuk menggandingkan kedua-dua pemimpin berkenaan sepanjang kempen PRN ini.

Sebaliknya, bagi Bersatu, walaupun Mahiaddin Md Yasin ada berjumpa empat mata dengan Tun Mahathir tidak lama sebelum ini dan turut bersama dalam program di Kelantan minggu lalu, hubungan itu dikatakan tidak lebih sekadar rasa hormat semata-mata.

Mahiaddin dikatakan tidak mungkin menjalin hubungan lebih jauh daripada itu dengan Tun Mahathir, lebih-lebih lagi berkaitan kerjasama politik melibatkan Bersatu dan PN atau dalam apa-apa hubungan yang ada kaitan dengan PRN akan datang.

Begitu juga dengan Hamzah Zainuddin yang merupakan Ketua Pembangkang dan Setiausaha Agung PN serta Bersatu, beliau sehingga ini kekal menjarakkan diri dengan Tun Mahathir.

Baik Mahiaddin dan Hamzah, kedua-dua mereka boleh dikatakan faham siapa Tun Mahathir yang sebenarnya dan apa yang diingini oleh bekas Perdana Menteri itu.

Mudah kata, tidak terlalu dekat dan tidak terlalu jauh tetapi tidak bermusuh, adalah jalan paling selamat sekali bagi kedua-dua pemimpin itu dalam berurusan dengan Tun Mahathir demi memastikan PN dan Bersatu lebih mudah bergerak lancar mendepani pelbagai cabaran politik dalam negara.

Sebab itu, masih tiada hubungan yang rasmi terjalin antara Tun Mahathir atau Proklamasi Orang Melayu yang diterajui bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, sama ada dengan PN mahu pun dengan Bersatu sehingga ke hari ini.

Ia banyak didorong oleh pendirian Mahiaddin dan Hamzah yang tidak begitu menadah muka mereka kepada Tun Mahathir.

Tapi berbeza dengan Pas, parti itu dan Hadi sendiri benar-benar sedang merapatkan diri dengan Tun Mahathir, terutama dalam konteks persamaan matlamat membenci dan ingin menjatuhkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Hadi Awang selaku Presiden Pas bahkan dilihat begitu berahi mendekatkan dirinya dengan Tun Mahathir sejak mutakhir ini.

Dalam hal ini, apa yang menjadi kecacatan paling besar bagi Tun Mahathir dalam keghairahannya mahu menjatuhkannya Anwar ialah kedudukannya yang sekarang ini bukan berstatus Ahli Parlimen.

Lebih daripada itu, kekalahan beliau sehingga hilang deposit pada PRU15 lalu di Langkawi terus menjadi persendaan yang amat memalukan bekas Perdana Menteri itu setiap kali beliau menyerang Perdana Menteri.

Ramai yang memperlekeh Tun Mahathir dan menganggapnya tidak layak lagi berlawan dengan Anwar berikutan sejarah buruk hilang deposit yang dialaminya itu.

Paling relevan untuk berlawan dan ingin menjatuhkan seorang Perdana Menteri tidak lain ialah seseorang itu mestilah berstatus Ahli Parlimen.

Kalau tiada status Ahli Parlimen, cakap seseorang itu dengan sendirinya jadi tidak lagi berbisa kerana tanpa status Ahli Parlimen, selain seseorang itu tidak boleh menjadi pengganti Perdana Menteri, dia juga dikira berada di liga yang berbeza berbanding kelompok Ahli-Ahli Parlimen.

Lagi pun, takkan Ahli-Ahli Parlimen mahu berketuakan atau mendengar cakap seseorang yang bukan Ahli Parlimen.

Sebagaimana dimaklumi semua, selain PRN enam negeri bakal berlangsung pada 12 Ogos depan, PRK Parlimen Kuala Terengganu juga akan diadakan bersekali pada tarikh tersebut.

PRK Parlimen Kuala Terengganu perlu diadakan berikutan kemenangan calon Pas pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad Hashim telah dibatalkan mahkamah lantaran petisyen yang dikemukakan BN berjaya membuktikan wujudnya amalan rasuah ketika kempen berlangsung di kawasan tersebut.

Maka, untuk menjadikan Tun Mahathir lebih berbisa dan gerakannya untuk menumbangkan Anwar lebih relevan, di samping membuktikan Pas berjiwa besar serta benar-benar berahi dalam bersahabat dengan bekas Perdana Menteri itu, apa kata beliau diberi laluan bertanding dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos depan ini?

Di waktu yang sama, oleh kerana Tun Mahathir juga dikira gelandangan politik dan tidak berparti ketika ini, tentu tiada masalah baginya untuk menyertai Pas sebagai syarat menjadi calon itu.

Apa macam Tuan Guru, boleh ke? – ShahbudinHusin 26/07/2023.

Tiada ulasan: