"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis: Pengikut SiHulk mencabar pihak berkuasa, siasatan diteruskan

Omar Ahmad
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis masih meneruskan siasatan terhadap pengikut ajaran sesat SiHulk, biarpun pengikut ajaran itu memuat naik video pengakuan tidak benar mereka dari luar negara.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berhubung isu berkenaan.

Beliau turut menyifatkan tindakan pengikut ajaran sesat terbabit yang terus memuat naik video pengakuan songsang mereka itu seolah-olah mencabar pihak berkuasa dan negara.

"Kita dimaklumkan mereka (pengikut SiHulk) berada di luar negara. Pengikut ini mencabar pihak berkuasa, mencabar negara kita kerana agama Islam agama rasmi kita.

"Pengakuan mereka memang songsang dan tidak boleh diterima, siasatan diteruskan terhadap mereka agar dihadapkan ke mahkamah," katanya sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Dua hari lalu, beberapa video pengakuan pengikut ajaran sesat SiHulk kian aktif memuat naik pengakuan mereka yang terpesong dengan mengakui Nabi Muhammad sebagai Allah.

Sebelum ini, Pengerusi JAINJ Mohd Fared Mohd Khalid memaklumkan pengikut ajaran sesat SiHulk dipercayai membuat rakaman video dengan mengeluarkan kenyataan Allah adalah Nabi Muhammad SWT dimuat naik di media sosial dari luar negara.

Tindakan itu menyukarkan JAINJ untuk membuat tangkapan dan penguatkuasaan lanjut terhadap pengikut ajaran SiHulk diasaskan Suhaini Muhammad yang dipercayai kini di New Zealand.

Fatwa Negeri Johor yang diwartakan bertarikh 22 Julai 2021 menyatakan bahawa ajaran Suhaini SiHulk ini sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariat dan akhlak Islam.

Antara penyelewengan ajaran ini ialah mendakwa Nabi Muhammad sebagai tuhan, tidak mempunyai jantina, menafsirkan sendiri sebuah hadis dengan menyatakan Nabi Muhammad tiada kemaluan.

Tiada ulasan: