"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jenazah Salahuddin selamat dikebumi

Bernama
PONTIAN: Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub selamat dikebumikan pada 12.05 tengah hari tadi di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat.

Terdahulu, jenazah Ahli Parlimen Pulai yang juga Adun Simpang Jeram itu disembahyangkan sebanyak lima kali di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot, Serkat termasuk diimamkan oleh anak sulungnya Iskandar Zulkarnain Salahuddin, 37, dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ribuan rakan politik, saudara mara, sahabat handai dan orang ramai hadir di masjid berkenaan serta di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang amat dedikasi dalam memperjuangkan nasib rakyat terutama berkaitan kos sara hidup.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.

Terdahulu, Salahuddin, 61, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, pada 9.23 malam Ahad selepas ditidurkan apabila menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Timbalan presiden Amanah itu meninggalkan isteri Fatimah Taha dan enam anak terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.

Tiada ulasan: