"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS larang ahli buat kenyataan kecuali diizinkan presiden

Malaysiakini

PAS sekali lagi memberi peringatan kepada ahli-ahlinya agar memberikan komitmen maksimum bagi memastikan kemenangan calon PN dalam enam pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan serentak pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassam berkata arahan yang dikeluarkan pemimpin parti itu, khususnya jabatan pilihan raya, mestilah dipatuhi.

"Secara tegasnya sebarang tindakan yang menyalahi dan merugikan parti adalah suatu kesalahan tatatertib yang boleh diambil tindakan sehingga dipecat.

"Ini termasuklah sebarang tindakan seumpama menjadi calon atau menyokong calon selain daripada calon PN," katanya dalam kenyataan malam ini.

Arahan itu adalah peringatan sekurang-kurangnya kali ketiga dibuat oleh PAS selepas penegasan yang sama disebut presiden parti itu Abdul Hadi Awang beberapa hari lalu dan timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man siang tadi.

Takiyuddin yang juga ahli parlimen Kota Bharu turut mengeluarkan arahan kepada semua ahli PAS agar tidak membuat sebarang kenyataan kecuali selepas diizinkan presiden mereka.

"Sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden PAS bagi mengelakkan timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan khususnya dalam tempoh pilihan raya ini," katanya.

Wajib undi calon PN

Sebelum ini ada beberapa pemimpin PAS peringkat pertengahan dan akar umbi menyatakan rasa kurang senang dengan pengagihan kerusi dalam kalangan parti PN.

Antara yang paling menonjol ialah pembabitan Presiden Gerakan Dominic Lau yang bertanding di kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang.

Asalnya nama Lau dikaitkan dengan kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan di Tasek Gelugor namun ia dibantah Pemuda PAS kawasan terbabit.

Semalam beberapa pemimpin termasuk anggota Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya PAS Pulau Pinang membantah langkah pemimpin PN meletakkan Lau di Bayan Lepas.

Rasa tidak senang itu mendorong PAS di kawasan berkenaan mengancam untuk menutup bilik operasi masing-masing dan enggan memberikan undi kepada Lau.

Takiyuddin berkata PAS mewajibkan semua ahli dan penyokong parti itu agar keluar mengundi awal dan memberikan undi masing-masing kepada calon PN.

"PAS yakin dengan perjuangannya yang berteraskan Islam serta hala tuju yang jelas demi kepentingan agama, bangsa dan negara yang digerakkan bersama gabungan PN akan terus diberikan mandat untuk mara berkhidmat di peringkat negeri dan negara," katanya.

Tiada ulasan: